Pengumuman

Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Ribut (Fasa 2) Negeri Perlis Tahun 2019

Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Ribut (Fasa 2) Negeri Perlis Tahun 2019 yang telah diadakan di Dewan Wawasan 2020, Kangar, Perlis ini dikelolakan sepenuhnya oleh Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis. Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Dato Seri Azlan Bin Man, Menteri Besar Perlis.

Majlis ini diadakan bertujuan untuk menyampaikan Bantuan Wang Ehsan (RM300 untuk setiap seorang) kepada 272 orang mangsa-mangsa ribut yang tidak tersenarai dalam senarai nama penerima bantuan ketika Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Ribut (Fasa 1) tahun 2019 yang telah diadakan pada 13 Ogos 2019 yang lalu. Selain itu, Bantuan Pemulihan Bencana Ribut turut disampaikan kepada 967 orang penerima bantuan yang mana diberikan berdasarkan kepada nilai kerosakan rumah (nilai kerosakan di dalam lingkungan RM101 sehingga RM3,000) yang diperolehi melalui siasatan dan pemantauan di rumah mangsa oleh pihak JKM Negeri Perlis dan MAIPs.

Dengan sikap keprihatinan serta kebertanggungjawaban Kerajaan Negeri dalam menghulurkan bantuan ini, semoga ia dapat meringankan beban kesulitan akibat musibah yang menimpa.