Perkhidmatan Orang Kurang Upaya

Mengapa Orang Kurang Upaya (OKU) digalakkan mendaftar dengan JKM?
Sebab utama adalah seperti berikut:
  • Supaya kerajaan dapat mengetahui bilangan sebenar dan taburan OKU di negara ini bagi maksud perancangan perkhidmatan, program pemulihan, intervensi awal, pencegahan, latihan dan pendidikan.
  • Supaya kerajaan dapat merancang kesesuaian program-program latihan, pendidikan dan pemulihan bagi golongan kurang upaya.
  • Supaya kerajaan dapat menyediakan kemudahan-kemudahan yang bertepatan dengan OKU.
  • Supaya kerajaan dapat mengenalpasti OKU mengikut jenis-jenis kecacatan atau sebagai kad pengenalan diri bagi mereka berurusan dengan pihak-pihak berkenaan.
  • Supaya OKU dapat menggunakan kemudahan-kemudahan dan keistimewaan oleh kerajaan.
  • Supaya OKU mendapat maklumat program-program latihan, pendidikan dan pemulihan bagi golongan kurang upaya.
Adakah pendaftaran OKU wajib?
Jawapan:
Pendaftaran OKU adalah atas dasar sukarela dan hanya untuk warganegara Malaysia yang bermastautin di Malaysia. Agensi yang terlibat dalam pendaftaran adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
 
Adakah perkara berkaitan pendaftaran OKU boleh dilakukan secara on-line sepenuhnya?
Jawapan:
Tidak. Sehingga sekarang permohonan pendaftaran OKU hanya boleh dibuat secara online menerusi SMOKU sehingga tahap pengisian borang. Borang yang diisi perlu dicetak dan dibawa kepada pegawai perubatan untuk pengesahan.
 
Apa itu SMOKU?
Jawapan:
Sistem Pengurusan Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) merupakan sebuah sistem yang dibangunkan bagi semua aktiviti yang merangkumi pengurusan Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk permohonan bagi pendaftaran OKU. Mulai 1 Ogos 2011, pendaftaran OKU telah dilakukan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU). SMOKU dibangunkan untuk memudahkan proses pendaftaran dan pengurusan Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebagai sistem penyimpanan maklumat OKU bagi kegunaan pendaftaran OKU (peringkat PKMD). Modul SMOKU (Fasa I) merangkumi Pendaftaran OKU, pemadanan kerja, pemadanan kursus/latihan dan laporan / statistik.  Manakala Modul SMOKU (Fasa II) meliputi perluasan pengeluaran dan percetakan Kad OKU ke 15 negeri seluruh Malaysia;
 
 
Tarikh Kemaskini : 30/01/2020