Top banner 1

PERKHIDMATAN

PENGENALAN

Pengurusan Dan Perlindungan Mangsa Keganasan Rumah Tangga
Pengurusan dan perlindungan mangsa keganasan rumah tangga adalah berdasarkan kepada Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (AKRT). Akta ini telah mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 1996. Ianya memberi perlindungan kepada mangsa keganasan rumahtangga samada ada melalui Perintah Perlindungan Interim (IPO) atau Perintah Perlindungan yang dikeluarkan oleh mahkamah atau penempatan sementara di tempat selamat yang telah diluluskan oleh YB Menteri.

Falsafah di sebalik Akta Keganasan Rumah Tangga 1994
  • Membendung kecenderungan untuk menggunakan keganasan rumah tangga;
  • Sebagai alat untuk menyelesaikan masalah rumah tangga dan memelihara kesejahteraan dalam keluarga;
  • Sebagai ‘instrumen’ untuk mangsa mendapatkan perlindungan segera apabila keganasan diperlakukan ke atas dirinya.  
Matlamat AKRT 1994
  • Memberi perlindungan undang-undang dalam situasi rumah tangga dan perkara-perkara bersampingan dengan nya; 
  • Sebagai pembaikan keadaan yang memberi perlindungan mangsa keganasan dan bukan bertujuan untuk meruntuhkan sesebuah rumah tangga.  
Pemakaian AKRT 1994
Akta ini terpakai kepada semua orang di Malaysia tanpa membezakan agama, bangsa, keturunan, jantina dan tempat kelahiran. 
 
Tafsiran Keganasan Rumah Tangga
  1. Sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal; 
  2. Mencederakan mangsa secara fizikal; 
  3. Memaksa atau mengancam melakukan perbuatan berbentuk seksual atau selainnya yang mana mangsa itu berhak tiada melakukannya; 
  4. Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa; 
  5. Khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa; 
  6. Menyebabkan penderaan psikologi yang termasuk kecederaan emosi kepada mangsa; 
  7. Menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain tanpa kerelaan mangsa atau jika kerelaan diberikan, kerelaan itu diperoleh dengan cara yang menyalahi undang-undang; atau 
  8. Dalam hal jika mangsa adalah seorang kanak-kanak, menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan  
Siapa Yang Boleh Mendapat Perlindungan Di Bawah Akta Ini
  1. Isteri atau suaminya atau bekas isteri atau bekas suami;
  2. (termasuk isteri atau suami de facto iaitu seseorang yang melalui suatu bentuk istiadat yang diiktiraf sebagai istiadat perkahwinan mengikut agama atau adat pihak-pihak yang berkenaan walaupun perkahwinan itu tidak didaftarkan atau tidak dapat didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubung dengan upacara dan pendaftaran perkahwinan) 
  3. Kanak-kanak (berumur bawah 18 tahun yang tinggal sebagai anggota keluarga); 
  4. Mana-mana anggota keluarga lain seperti anak lelaki atau perempuan dewasa, ibu atau bapa, abang, kakak atau adik. 
Kesalahan di bawah AKRT 1994 Yang Dibaca Bersama Kanun Keseksaan)
  • Dengan sengaja mendatangkan cedera
  • Dengan sengaja mendatangkan cedera dengan senjata berbahaya
  • Dengan sengaja mendatangkan cedera parah
  • Dengan sengaja mendatangkan cedera parah dengan senjata berbahaya
  • Seksaan halangan salah
  • Seksaan bagi pengurusan salah
  • Menggunakan kekerasan
  • Menggunakan kekerasan untuk menjatuhkan maruah (mencabul kehormatan)
  • Menggunakan kekerasan jenayah untuk mengaibkan orang / menjatuhkan kehormatan orang
  • Rogol
  • Khianat
  • Ugutan jenayah 
Peranan JKM dalam membantu Mangsa Keganasan Rumah Tangga
  • Membantu mendapatkan perintah perlindungan interim (Interim protection order) dan perintah perlindungan (protection order) daripada mahkamah
  • Menyediakan tempat perlindungan
  • Memberikan perkhidmatan kaunseling
  • Memberikan khidmat nasihat dan bimbingan
  • Merujuk kepada agensi lain

 
Tarikh Kemaskini : 20/11/2019