PENGOPERASIAN INSTITUSI WARGA EMAS PASCA PKP/B JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT


PENGENDALIAN PENGHUNI WARGA EMAS DI INSTITUSI 
  1. Apakah maksud Penjarakan Sosial/Social Distancing dan melaksanakan 3C dan 3W?
Ia bermaksud tidak berjabat tangan, mengelakkan daripada berada di tempat orang ramai, menjarakkan diri dari orang sekeliling dan berada di rumah sepanjang masa atau jika tidak sihat kecuali untuk memenuhi keperluan-keperluan asas bagi mengelakkan jangkitan COVID-19. Penjarakan sosial bertujuan untuk meningkatkan jarak fizikal antara manusia atau mengurangkan kekerapan perkumpulan manusia dalam suasana yang padat.
 
Pengusaha/petugas/penghuni pusat jagaan hendaklah sentiasa mengamalkan amalam3C dan 3W. 3C (crowded places, confined spaces & close conversation) adalah mengelakkan kawasan sesak dan sempit tertutup serta tidak bertutur pada jarak dekat. Manakala 3W (wash, wear & warn) pula ialah amalan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; digalakkan memakai topeng muka di tempat awam atau jika bergejala; serta memberi amaran berkonsep peringatan seperti tidak bersalaman, mengamalkan adab batuk yang baik dan memeriksa suhu badan.
 
  1. Siapakah yang tidak dibenarkan memasuki institusi?
 
Mereka yang tidak dibenarkan memasuki Institusi termasuklah kakitangan, pekerja kontrak swasta, Ahli Lembaga Pengarah (ALP), pelawat dan orang awam jika ada
  1. Mempunyai sebarang gejala COVID-19 seperti batuk, selsema, demam, sakit tekak atau sukar bernafas atau suhu badan melebihi 37.5 ºC.
  2. Sejarah perjalanan ke mana-mana negara atau ada kaitan dengan kluster COVID-19 dalam tempoh 14 hari bermulanya gejala.
  3. Kemungkinan kontak rapat dengan sesiapa yang positif COVID-19 dalam tempoh 14 hari sebelum bermulanya gejala.
  4. Kemungkinan kontak rapat dengan sesiapa yang telah diuji untuk COVID-19 melainkan keputusannya negatif.
 
  1. Apakah langkah pencegahan jangkitan COVID-19 di institusi? 
Setiap institusi perlu mengamalkan langkah-langkah berikut walaupun tiada jangkitan COVID-19. 
  1. Membuat saringan suhu badan di pintu-pintu masuk Institusi; 
  2. Memastikan bekalan termometer tanpa kontak atau termometer infrared (contactless or infrared thermometer) dan alat perlindungan seperti hand sanitizer, penutup mulut dan hidung (face mask) serta sarung tangan mencukupi; 
  3. Memastikan hand sanitizer diletakkan di tempat yang mudah dilihat dan dicapai seperti kaunter, pejabat, asrama, bilik mesyuarat dan laluan penghuni. Pastikan juga ia kerap diperiksa dan diisi semula; 
  • Disarankan penggunaan pembasmi kuman tangan berasaskan alkohol dengan kandungan lebih daripada 60% etanol atau 70% isopropanol. 
  1. Membuat semburan nyahkuman/ disinfeksi di persekitaran institusi terutamanya pada permukaan yang mudah dicemari seperti pintu, kerusi dan tempat pemegang dan sekurang-kurangnya 1 kali sebulan bagi keseluruhan kawasan institusi; 
  2. Meningkatkan kefahaman, kesedaran dan latihan kepada kakitangan khususnya penggunaan alat pelindung seperti sarung tangan, penutup mulut dan hidung (face mask), penutup kepala dan sarung pakaian yang betul;
  1. Memakai topeng muka di mana perlu terutamanya jika terdapat penghuni yang tidak sihat dan mempunyai batuk ringan atau biasa, selesema atau demam; 
  2. Mengamal penjarakan sosial di dalam institusi; 
  3. Memastikan institusi sentiasa berada dalam keadaan bersih; 
  4. Memastikan penghuni memakai penutup mulut dan hidung (face mask) jika mempunyai simptom-simptom seperti batuk, selesema dan demam; 
  5. Elakkan perkongsian peralatan makanan dan penjagaan diri penghuni; 
  6. Cuci peralatan makanan yang digunakan dengan air dan sabun pencuci sebelum digunakan semula; 
  7. Memasak makanan dengan sempurna; dan 
  8. Buka semua tingkap untuk pengudaraan asrama yang baik.
 
  1. Apakah peranan kakitangan dan penghuni untuk mencegah penularan wabak COVID-19 ini?  
Kakitangan dan penghuni hendaklah mengamalkan amalan kesihatan dan kebersihan yang baik pada setiap masa: 
  1. Mengekalkan tahap kebersihan diri dan wajib mengikuti program saringan COVID-19; 
  2. Kerap mencuci tangan dengan air yang bersih selama sekurang-kurangnya 20 saat menggunakan sabun atau menggunakan hand sanitizer (terutamanya sebelum mengendalikan makanan, sebelum makan, selepas menggunakan tandas atau selepas batuk atau bersin); 
  3. Memakai penutup mulut dan hidung (face mask) jika mempunyai tanda-tanda jangkitan pernafasan seperti batuk atau selesema; 
  4. Menutup mulut dengan tisu ketika batuk atau bersin dan membuang tisu itu ke dalam tong sampah serta-merta dan mencuci tangan dengan teliti selepas itu; 
  1. Elakkan bersentuhan seperti bersalaman, memeluk dan/atau mencium; 
  2. Elakkan minum/makan daripada cawan, pinggan mangkuk, peralatan makanan yang mungkin telah disentuh/diguna oleh orang lain; 
  3. Tanggalkan kesemua barang kemas dan jam tangan sebelum memulakan kerja bagi memastikan kebersihan tangan; 
  4. Elakkan dari mendekati orang yang sakit, kurang sihat atau menunjukkan tanda-tanda penyakit seperti demam panas, batuk atau sesak nafas; 
  5. Elakkan daripada menziarahi orang yang sakit jika diri tidak sihat atau mempunyai tanda-tanda jangkitan; 
  6. Dapatkan rawatan perubatan dengan segera jika tidak sihat. Sekiranya kakitangan disyaki/bergejala COVID-19, arahan saringan COVID-19 perlu dikeluarkan; dan 
  7. Bagi mana-mana kakitangan didapati positif, wajib mengikuti program pemulihan KKM dan dilarang hadir bertugas di institusi.
 
  1. Adakah perhimpunan dibenarkan selepas PKPB?
 
Tidak digalakkan sebarang bentuk perhimpunan dan aktiviti sosial beramai-ramai di institusi seperti perhimpunan kakitangan dan penghuni, perhimpunan pagi dan sambutan perayaan sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghindari sebarang risiko jangkitan.
 
  1. Bolehkah ahli keluarga berjumpa dengan penghuni?
 
Boleh. Perjumpaan terhad kepada dua (2) ahli keluarga sahaja dalam satu-satu masa. Perjumpaan tersebut hendaklah mengamalkan pemakaian penutup mulut dan hidung (face mask) dan mematuhi jarak sosial sekurang-kurangnya 1 meter sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan jangkitan COVID-19.
 
Walau bagaimanapun ahli keluarga perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran memasuki institusi. Sila rujuk jawapan Soalan 2 di atas.
   
  1. Apakah yang perlu dilakukan oleh institusi bagi penghuni yang baru pulang bercuti dengan keluarga? 
Saringan suhu badan hendaklah dilakukan sebaik penghuni melapor diri. Sekiranya dikesan demam dengan gejala jangkitan pernafasan atau mengalami selesema dan batuk, penghuni perlu dirujuk segera ke hospital/klinik untuk pemeriksaan lanjut.
 
  1. Apakah yang perlu dilakukan jika terdapat penghuni tidak sihat? 
Penghuni yang tidak sihat hendaklah diasingkan di bilik pengasingan dan perlu mendapatkan pemeriksaan segera Pegawai Perubatan di klinik/hospital.
 
 
  1. Saya seorang penghuni di institusi dan bercadang hendak ke pekan berjumpa rakan. Bolehkah saya diberi cuti harian? 
Tidak boleh. Semua pergerakan penghuni secara sendiri di luar institusi adalah ditangguhkan pada masa ini.
 
  1. Bagaimanakah aktiviti dan program penghuni di institusi dalam tempoh wabak COVID-19? 
Institusi boleh meneruskan aktiviti fizikal bersesuaian secara berjadual dan dinasihatkan mengambil langkah-langkah berikut dalam merancang dan melaksanakan aktiviti penghuni bagi mencegah penularan wabak COVID-19. 
  1. Menghadkan bilangan lawatan, program dan penyertaan dalam aktiviti luar/dalaman untuk mengurangkan risiko pendedahan penghuni kepada orang awam; 
  2. Mengurangkan aktiviti yang merentasi kemudahan, asrama atau blok; 
  3. Menjalankan aktiviti dalam kumpulan yang lebih kecil. Bilangan peserta dalam kumpulan kecil bergantung keluasan lantai dengan mengamalkan penjarakan sosial yang selamat sekurang-kurangnya 1 meter; 
  4. Sentiasa mengingatkan agar mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat; dan
  1. Aktiviti hanyalah melibatkan penghuni yang sihat dan tidak bergejala.
 
  1. Bolehkah institusi membawa penghuni riadah/outing di luar institusi?
 
Tidak digalakkan. Walau bagaimanapun sekiranya perlu aktiviti luar seperti riadah/outing dibenarkan dengan mematuhi syarat-syarat berikut: 
  1. Penglibatan dalam kumpulan kecil antara 5 hingga 10 penghuni; 
  2. Tempat riadah/outing bukan tumpuan orang awam atau berisiko; 
  3. Penghuni yang terlibat hendaklah yang sihat dan tiada sebarang/sejarah penyakit kronik; 
  4. Tempoh aktiviti tidak melebihi 2 jam; 
  5. Mengamalkan penjarakan sosial semasa dan sepanjang aktiviti; 
  6. Mengamalkan kebersihan diri yang baik dan sempurna seperti kerap membasuh tangan; dan 
  7. Memakai penutup mulut dan hidung (face mask) jika tidak sihat atau berada di tempat awam.
 
  1. Bolehkah institusi menerima kehadiran sukarelawan? 
Boleh. Aktiviti sukarelawan dibenarkan dan terhad kepada aktiviti pemulihan fisioterapi dan cara kerja sahaja dengan mematuhi syarat-syarat berikut: 
  1. Menjalankan aktiviti dalam kumpulan yang lebih kecil. Bilangan peserta dalam kumpulan kecil bergantung keluasan lantai dengan mengamalkan penjarakan sosial yang selamat sekurang-kurangnya 1 meter; dan 
  2. Sentiasa mengamalkan amalan kesihatan dan kebersihan yang baik pada setiap masa seperti pemakaian face mask.
 
  1. Bagaimanakah mengendalikan penghuni yang tidak sihat? 
Setiap kakitangan/pekerja yang mengendalikan penghuni yang tidak sihat hendaklah memastikan memakai alat perlindungan seperti sarung tangan, penutup mulut dan hidung (face mask), penutup kepala dan sarung pakaian bagi
 mencegah jangkitan COVID-19. Alatan pelindungan yang digunakan hendaklah dibuang/dilupuskan dalam tong sampah dengan cara yang betul.
 
  1. Institusi menerima kemasukan penghuni baharu. Apakah yang perlu dilakukan? 
Ketua Institusi bertanggungjawab memastikan tindakan berjaga-jaga pencegahan wabak COVID-19 diambil tindakan di setiap institusi. Setiap penghuni baharu perlulah dibuat saringan awal kesihatan seperti pemeriksaan suhu badan sebaik melapor diri dan diasingkan di bilik pengasingan selama tempoh 14 hari.
 
Sekiranya tidak sihat, sila rujuk jawapan Soalan 8 di atas.
 
  1. Pada bulan Ramadhan/hari perayaan, institusi banyak menerima undangan ke majlis berbuka dan penyampaian sumbangan kepada penghuni. Bolehkah institusi membawa penghuni ke program undangan majlis penyampaian sumbangan/majlis hari raya sama ada di luar atau dalam institusi?
 
Tidak digalakkan. Aktiviti luar perlu dikurangkan bagi mengelakkan penghuni khususnya warga emas terdedah jangkitan wabak COVID-19. Sekiranya perlu kehadiran penghuni, institusi dibenarkan membawa penghuni dengan syarat-syarat berikut:
 
  1. Bilangan penghuni yang minimum antara 2 hingga 5 orang; 
  2. Penghuni yang hadir hendaklah yang sihat dan tiada sebarang/sejarah penyakit kronik; 
  3. Tempoh program tidak melebihi 2 jam; dan 
  4. Mengamalkan penjarakan sosial semasa dan sepanjang program.
 
  1. Syarikat ABC hendak mengadakan program bersama penghuni dan menyampaikan sumbangan di institusi. Adakah dibenarkan program berkenaan? 
Sebarang bentuk lawatan dan program oleh pihak luar yang melibatkan aktiviti bersemuka bersama penghuni adalah tidak dibenarkan. Larangan ini termasuklah lawatan ke fasiliti institusi dan asrama penghuni. Namun, penyampaian program sumbangan oleh pihak luar kepada institusi diberi kebenaran dengan mematuhi syarat-syarat berikut: 
  1. Kehadiran/penglibatan terhad antara 10 hingga 15 orang tanpa penglibatan penghuni
  2. Diadakan di dalam dewan/ruang pejabat; 
  3. Saringan suhu badan terhadap semua yang terlibat; 
  4. Tempoh program tidak melebihi 2 jam; 
  5. Memakai penutup mulut dan hidung (face mask) jika tidak sihat; dan 
  6. Mengamalkan penjarakan sosial sepanjang program.
 
  1. Bagaimanakah temujanji dan pemeriksaan kesihatan penghuni selepas PKPB? 
Penghuni perlu hadir menjalani pemeriksaan mengikut tarikh temujanji yang diberikan.
 
  1. Penghuni yang menerima wang saku bulanan secara tunai perlu cop jari pada baucar bayaran. Saya sebagai Pembantu Kebajikan Masyarakat telah ditugaskan untuk membuat bayaran wang saku tersebut. Apakah tindakan yang boleh saya lakukan bagi mencegah wabak ini?
 
  1. Pembayaran wang saku penghuni secara perseorangan (individu); 
  2. Memakai penutup mulut dan hidung (face mask); 
  3. Amalkan penjarakan sosial; 
  4. Memakai sarung tangan semasa pembayaran kepada penghuni yang tidak sihat; 
  5. Mengelakkan bersentuhan seperti bersalaman; 
  6. Kerap membasuh tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer); dan 
  7. Menggalakan pembayaran secara EFT kepada akaun penghuni.
 
  1. Adakah dewan makan boleh beroperasi seperti biasa (sebelum wabak)?
 
Tidak digalakkan. Walau bagaimanapun institusi boleh mengubah cara pengendalian makanan di dewan makan dengan mematuhi amalan penjarakan sosial dan kebersihan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Ketua Institusi perlu menyedia dan menampal Notis-notis Peringatan / Poster / Infografik di premis masing-masing berkenaan SOP menjaga penjarakan sosial satu (1) meter (termasuk menyediakan garisan satu (1) meter), sentiasa membasuh / sanitasi tangan, sentiasa memakai penutup hidung dan mulut, had bilangan penghuni dan lain-lain.
 
 
  1. Apakah peranan syarikat perkhidmatan swasta (kontrak) di institusi dalam mengawal penularan jangkitan COVID-19?  
Syarikat perkhidmatan swasta bertanggungjawab memastikan:
  1. Pekerja yang bekerja adalah sihat iaitu bebas-gejala;  
  2. Pekerja dibekalkan penutup mulut dan hidung (face mask) dan hand sanitizer yang mencukupi;  
  3. Sentiasa amalkan penjarakan sosial; dan  
  4. Pihak syarikat disaran menyediakan surat kesihatan/bebas COVID-19 bagi setiap pekerja kontrak terbabit.
 
  1. Bolehkah Ahli Lembaga Pelawat (ALP) mengadakan mesyuarat?  
Boleh. ALP dibenarkan mengadakan mesyuarat dengan mengamalkan penjarakan sosial dan tidak melibatkan lawatan kepada penghuni.
 
  1. Bolehkah membawa penghuni Solat Jumaat di masjid atau yang berhampiran selepas PKP tamat?  
Tidak boleh. Namun begitu, Bergantung kepada kelulusan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri, jika Solat Jumaat dibenarkan, Ketua Institusi hendaklah mengaturkan perjalanan tersebut dengan mematuhi syarat-syarat minimum berikut:
  1. Penghuni bebas gejala COVID-19; 
  2. Seorang pengiring (kakitangan) bagi setiap 10 penghuni;
  3. Berwuduk di institusi;
  4. Membawa sejadah sediri;
  5. Mengamalkan penjarakan sosial termasuk di dalam kenderaan;
  6. Kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer ketika pergi dan pulang dari masjid/rumah ibadat;
  7. Amalan bersalam-salaman selepas solat secara berjemaah/aktiviti keagamaan boleh ditangguhkan/dielakkan untuk sementara waktu; dan
  8. Hanya penghuni berumur 70 tahun ke bawah dibenarkan.  
 
Walau bagaimanapun, pelaksanaan Solat Jumaat tertakluk kepada kebenaran dan panduan daripada Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.
 
  1. Adakah aktiviti keagamaan di surau termasuk solat berjemaah dibolehkan?  
Boleh dilaksanakan dengan mematuhi Garis Panduan yang telah dikeluarkan oleh JKM melalui surat JKM/100/02/6/Jld.7(22) bertarikh 22 Mei 2020.
 
  1. Sekiranya aktiviti keagamaan di surau atau rumah ibadat lain diberi kebenaran, apakah tindakan yang perlu dilakukan?  
Kakitangan dan penghuni yang bergejala seperti batuk, selesema dan demam serta khuatir dijangkiti COVID-19, dinasihatkan untuk tidak mengikuti aktiviti keagamaan seperti menunaikan solat berjemaah/aktiviti keagamaan kerana dibimbangi akan menjangkiti orang lain. Bagi mencegah penularan wabak COVID-19, institusi hendaklah sentiasa mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Institusi juga diingatkan supaya mengambil tindakan awal pencegahan seperti berikut:
  1. Membersihkan permaidani, pintu dan selusur (railing) dengan menggunakan bahan pencuci dan bahan penyahjangkit (disinfectant); dan  
  2. Menyediakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) di setiap pintu masuk surau. 
 
Bagi penghuni bukan Islam, aktiviti keagamaan/kerohanian di luar institusi dan rumah ibadat tidak dibenarkan. Aktiviti hendaklah dijalankan dalam institusi. dengan kehadiran paderi/sami jemputan sahaja dengan syarat-syarat berikut:
  1. Paderi/Sami mematuhi jawapan Soalan 2 di atas;  
  2. Penghuni bebas gejala COVID-19;  
  3. Penghuni yang berumur 70 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir;  
  4. Kebenaran ini juga hanya untuk 1 hari sahaja dalam seminggu bagi hari-hari keutamaan keagamaan masing-masing;  
  5. Penglibatan dalam kumpulan kecil dan terhad tidak melebihi 5 orang penghuni setiap kali aktiviti; dan  
  6. Saringan suhu badan sebelum dan selepas serta pemakaian topeng muka (face mask) mesti dipatuhi setiap masa.
 
  1. Sekiranya berlaku kematian di institusi (bukan pesakit COVID-19), adakah solat jenazah dan tahlil dibenarkan?  
Jika kematian bukan pesakit COVID-19, institusi boleh menguruskan jenazah dengan waris terdekat dan khariah masjid/surau berhampiran sahaja. Sebelum jenazah diurus, pihak institusi hendaklah terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada Pegawai Perubatan/ Penolong Pegawai Perubatan hospital berhampiran dan membuat laporan kematian sebagaimana biasa dilapor kepada pihak Polis.
 
Panduan pengurusan jenazah dan penganjuran majlis tahlil atau seumpamanya selepas PKPB tertakluk kepada kebenaran dan panduan daripada Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri.
 
Manakala bagi jenazah yang meninggal dunia sebab berkaitan dengan COVID-19 hendaklah diuruskan dan diserahkan kepada hospital berdekatan.
  1. Apakah tindakan yang perlu diambil jika ada berlaku jangkitan COVID-19 di dalam institusi?  
Jika penghuni disahkan positif COVID-19, Ketua Institusi hendaklah:
  1. Memaklumkan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat;  
  2. Mengasingkan penghuni yang dijangkiti ke bilik pengasingan;  
  3. Mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah; dan  
  4. Menyediakan laporan awal dan memaklumkan dengan segera kepada Ibu Pejabat JKM;  
Jika berkaitan kakitangan, Ketua Institusi perlulah bertindak dengan segera tanpa menunjukkan kebimbangan yang berlebihan untuk mengelakkan panik dalam kalangan kakitangan dengan mengambil tindakan berikut:
  1. Memastikan kakitangan lain yang ada kaitan atau kontak dengan kakitangan bergejala berkenaan dikenal pasti dan dipantau serta menunggu arahan lanjut daripada pihak KKM;  
  2. Melaksanakan nyahkuman /disfeksi dengan serta merta di seluruh institusi; dan  
  3. Sekiranya terdapat kakitangan yang berada di bawah pemerhatian KKM (person under investigation) atau di bawah perintah pemerhatian di rumah, pekerja terbabit tidak dibenarkan datang bekerja dan perlu menjalani tempoh pengasingan yang ditetapkan oleh KKM.
  1. Sampai bila Institusi perlu mengambil langkah/amalan pencegahan COVID-19?  
Amalan yang diterapkan di institusi ketika ini bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 perlu diteruskan dan bersedia untuk satu jangka masa yang panjang selagi wabak jangkitan COVID-19 tidak diisytiharkan tamat.
 
Institusi perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang masa dan terus membiasakan dengan amalan norma baharu' atau 'new normal’ selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia. 
 
Tarikh Kemaskini : 10/06/2020