Taska OKU

LATAR BELAKANG PENUBUHAN TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK (TASKA) OKU
Selaras dengan pengumuman bajet Tahun 2013 pada 28 September 2012, Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan projek perintis TASKA OKU bagi 6 kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi sindrom down, autism, penglihatan, pendengaran, fizikal dan masalah pembelajaran. Penubuhan TASKA OKU ini diharap dapat memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak kurang upaya serta meringankan beban keluarga berpendapatan rendah untuk mendapat asuhan dan didikan awal kanak-kanak yang berkualiti.
                       
OBJEKTIF PENUBUHAN TASKA OKU
(i)  Membantu ibu bapa / penjaga dan kanak-kanak OKU mendapat perkhidmatan yang sesuai dengan ketidakupayaan yang dihadapi,  pada masa yang sama keperluan bagi       pendidikan dan perkembangan awal kanak-kanak dapat dipenuhi;
(ii)  Membantu mengurangkan beban ibu bapa / penjaga kanak-kanak OKU terutama kepada ibu bapa / penjaga yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan pengasuhan yang sempurna dan berkualiti bagi anak-anak OKU mereka. 

STANDARD MINIMA PENGASUHAN
Bagi memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia menerima asuhan yang berkualiti, satu standard minima pengasuhan telah dibangunkan.  Pengawalan standard minima pengasuhan adalah berdasarkan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Pindaan 2007) dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.  Ia bertujuan menjamin perkhidmatan pengasuhan yang berkualiti.
 
KONSEP TASKA OKU
 i.     TASKA OKU adalah merupakan suatu pendekatan yang akan memberi tumpuan kepada keluarga yang mempunyai anak OKU.
 ii.    TASKA OKU berkonsepkan penyertaan bersama NGO, ibu bapa, kanak-kanak, agensi Kerajaan,  badan swasta dan komuniti setempat.
Tarikh Kemaskini : 30/04/2021