Top banner 1

PERKHIDMATAN

PEMBANGUNAN

Pembangunan Dan Perkembangan Potensi Kanak-Kanak
 
Kanak-kanak yang diberi perlindungan dan sedang menjalani pemulihan di institusi samada Rumah Kanak-Kanak (RKK), Sekolah Tunas Bakti (STB), Taman Seri Puteri (TSP) atau Asrama Akhlak (AA) mempunyai pelbagai latarbelakang yang berbeza dan pelbagai jenis kesalahan jenayah. Walau bagaimanapun, kanak-kanak tersebut tetap diberi peluang untuk mengikuti proses pembelajaran sama seperti kanak-kanak yang lain samada dalam bidang akademik, agama Islam dan moral serta kemahiran vokasional.
 
 
A. PROGRAM PEMBANGUNAN AKADEMIK
 

1.        KELAS AKADEMIK 
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak pernah mengabaikan masa hadapan kanak-kanak walaupun mereka berada di insitusi Kebajikan Masyarakat. Kanak-kanak tersebut akan mengikuti kelas akademik secara formal sama seperti kanak-kanak lain di sekolah yang berhampiran dengan institusi berkenaan. Selain itu, bagi kes-kes tertentu, terdapat juga kanak-kanak tetap yang akan mengikuti kelas-kelas akademik di dalam insitusi tersebut. Malah kanak-kanak ini juga, akan mengambil peperiksaan utama seperti UPSR, PMR dan SPM dan terdapat kanak-kanak berkenaan telah mencapai keputusan peperiksaan yang memberangsangkan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Berdasarkan rekod terdapat kanak-kanak institusi kebajikan masyarakat yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), ATMA, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP). Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah melatih ramai kakitangannya untuk mengendalikan Kelas KIA2M. Hasilnya kanak-kanak di institusi Kebajikan Masyarakat mendapat manfaat setelah mengikuti Kelas KIA2M ini.
 
2.       SEMINAR BIJAK BELAJAR DAN MOTIVASI PELAJAR
JKM tidak pernah mengabaikan masa hadapan kanak-kanak di institusi yang akan mengambil peperiksaan utama pada setiap tahun seperti UPSR, PT3 dan SPM. Oleh itu, Bahagian Kanak-Kanak mengadakan Seminar Bijak Belajar dan Motivasi Pelajar untuk membantu kanak-kanak ini memahami kaedah dan teknik belajar yang betul serta meningkatkan motivasi diri mereka.
 
 3.      KELAS- KELAS TUISYEN 
Kanak-kanak yang menduduki peperiksaan utama akan diberi keutamaan untuk menghadiri kelas-kelas tuisyen yang diadakan oleh institusi masing-masing sebagai persediaan menghadapi peperiksaan dengan lebih sempurna.
 
 
B.PROGRAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN DAN PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI SERTA MORAL

1.        KELAS ASAS FARDHU AIN
Kanak-kanak di institusi diwajibkan hadir dan mengikuti kelas Asas Fardhu Ain. Melalui kelas ini, kanak-kanak akan diajar dan diterapkan dengan pelbagai ilmu agama seperti Fekah, Tauhid, Tajwid dan Ibadah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan agama kepada mereka. Program ini penting sebagai salah satu pemulihan secara kerohanian dalam diri kanak-kanak.
 
2.       KEM TRANFORMASI JATI DIRI DAN MINDA
Melalui program ini kanak-kanak di institusi akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang boleh meningkatkan motivasi dan semangat mereka untuk berubah menjadi kanak-kanak yang lebih berfikiran positif dan mempunyai akhlak yang mulia. Kebiasaannya program ini akan diadakan diluar institusi selama 3 hari untuk memberi pengalaman baru dan berbeza kepada kanak-kanak.

3.       PROGRAM KUNJUNGAN KASIH/ NAZIRAN
JKM melalui Bahagian Kanak-kanak telah merancang secara tahunan program Kunjungan Kasih ini di setiap institusi kanak-kanak bagi mewujudkan hubungan dan mengeratkan silaturrahim antara kanak-kanak. Selain dari ziarah, semasa program ini akan diadakan ujian fardhu ain disamping beberapa aktiviti penerapan nilai-nilai murni seperti ceramah, kaunseling, solat sunat dan panduan zikir.
 
4.       PROGRAM SMART SOLAT
Melalui program ini kanak-kanak akan diberi penekanan dan pemahaman kaedah bersuci dan solat yang sempurna. Melalui solat yang sempurna akan memberi kekuatan kepada kanak-kanak dari segi fizikal dan kerohanian untuk berubah menjadi lebih baik. 
 
5.       PROGRAM SAMBUTAN HARI KEBESARAN ISLAM & AKTIVITI KEROHANIAN
Semasa di institusi kanak-kanak ini akan didedahkan dengan pelbagai sambutan Hari Kebesaran Islam seperti MaalHijrah, MaulidurRasul, Aidilfitri, IsrakMikraj, Nuzul Al-Quran dan sebagainya.  Malah pelbagai aktiviti kerohanian sentiasa diadakan seperti Bacaan Yassin, Zikir, solat-solat sunat tadarus Al-Quran, ceramah agama sebagai salah satu bentuk kesedaran dan pemuilhan kepada kanak-kanak.
 

C. PROGRAM Latihan KEMAHIRAN/ VoKASIONAL

1.       LATIHAN KEMAHIRAN DI INSTITUSI
Institusi perlindungan dan pemulihan JKM juga mengendalikan program latihan kemahiran bagi kanak-kanak institusi yang keciciran dalam bidang akademik. Program latihan kemahiran ini melibatkan beberapa bidang yang berkait rapat dengan industri dalam negara seperti automotif, elektrikal, kimpalan, binaan bangunan, jahitan dan masakan. Bidang-bidang ini dipilih untuk dilaksanakan di institusi kerana mempunyai potensi kebolehpasaran yang tinggi bagi pelatih-pelatih ini mendapat pekerjaan setelah keluar dari institusi.
 
Program latihankemahiran yang dijalankan di institusikanak-kanak JKM adalah berteraskan pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM) yang diselaraskan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Semua modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) dibangunkan berpandukan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) atau National Occupational Skills Standard (NOSS).
 
2.       PENUBUHAN PUSAT BERTAULIAH/ PUSAT BERTAULIAH SLDN
Sebanyak sermbilan (9) buah institusi kanak-kanak JKM telah diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Bagi institusi yang telah menerima pengiktirafan ini, kanak-kanak yang menyertai bengkel yang diiktiraf akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia yang diiktiraf oleh pihak industri.
Bagi memastikan kualiti pendidikan kemahiran ini berkualiti, Jabatan telah menggunakan standard yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) selaku penyelaras latihan kemahiran di Malaysia dan diiktiraf oleh pihak industry.
 
3.       JARINGAN KERJASAMA 
Perkongsian bijak dilaksanakan di mana jaringan kerjasama dengan institut latihan awam dan swasta diadakan bagi meningkatkan mutu pembangunan kemahiran tenaga pengajar serta kanak-kanak di institusi.
 
Antara agensi yang berjaya dilaksanakan kerjasama adalah seperti GIATMARA, Institut Latihan Perindustrian, Kolej-Kolej Komuniti dan Pusat- Pusat Bertauliah Swasta.
               

D.       PROGRAM PENGINTEGRASIAN KANAK-KANAK
Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan berkanun, agensi kerajaan dan sector korporat khususnya melalui program tanggungjawab social korporat (CSR) sentiasa mengadakan pelbagai aktiviti dan program untuk melibatkan kanak-kanak di kalangan masyarakat. Melalui aktiviti ini kanak-kanak akan memahami potensi diri mereka dan mampu menyumbang kearah pembangunan negara. Antara sektor korporat yang sentiasa menyokong dan mengadakan pelbagai program ini ialah KFC Holding SdnBhd, Nestle Produk Sdn Bhd, Great Eastern Life, Dutch Lady, Colgate Palmolive, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional dan pelbagai agensi kerajaan yang lain.