Top banner 1

SEMAKAN PESALAH JENAYAH SEKSUAL TERHADAP KANAK-KANAK DALAM DAFTAR KANAK-KANAK

1.  Apa itu sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak dalam Daftar Kanak-Kanak?
Sistem semakan ini merupakan sebahagian daripada maklumat dalam Sistem Daftar Kanak-kanak yang boleh diberikan kepada orang-orang yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah di bawah Seksyen 120 Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611].
 
Sistem Daftar Kanak-Kanak adalah bentuk yang ditetapkan untuk disimpan dan digunakan sebagai Daftar Kanak-kanak di bawah Seksyen 118 Akta 611. Ia merupakan suatu pangkalan data berpusat yang menyimpan maklumat kanak-kanak sama ada mempunyai kes atau disyaki memerlukan pelindungan, maklumat pelaku yang telah disabitkan atas apa-apa kesalahan terhadap kanak-kanak dan apa-apa perkara lain yang ditentukan oleh Ketua Pengarah dari semasa ke semasa.
 
2.  Apakah tujuan semakan pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam Daftar Kanak-Kanak ini diwujudkan?
  • Untuk mempertingkatkan perlindungan dan keselamatan terhadap kanak-kanak; dan
  • Mencegah dan mengekang jenayah terhadap kanak-kanak daripada berlaku dan berulang.
 
3.  Bagaimana penggunaan Daftar ini dikatakan boleh meningkatkan perlindungan dan keselamatan terhadap kanak-kanak?
Seseorang yang ingin mengambil pekerja dalam bidang berkaitan pengurusan kanak-kanak boleh membuat semakan untuk memastikan individu yang diambil bekerja bebas daripada rekod jenayah terhadap kanak-kanak.
 
4.  Bagaimanakah maklumat pelaku diperolehi?
Maklumat mengenai pelaku yang disabitkan kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak diperolehi daripada pihak mahkamah.
 
5.  Siapakah yang boleh membuat semakan?
Individu termasuk ibu bapa dan agensi yang mengambil kakitangan dalam sektor pekerjaan yang melibatkan kanak-kanak seperti:
  • Pengasuhan di TASKA atau di Rumah (cth: pengasuh)
  • Penjagaan kanak-kanak di institusi/asrama/pusat jagaan (cth: warden asrama, atendan)
  • Bidang pendidikan seperti tadika, pusat tuisyen (cth:guru, tukang kebun, pengusaha kantin, pengawal keselamatan)
  • Kesihatan/perubatan di klinik/hospital (cth: atendan, jururawat, doktor)
  • Pengangkutan seperti pemandu bas sekolah.
  • Sukan dan Rekreasi
  • Mana-mana yang ditentukan secara munasabah oleh KPKM.
 
6.  Bagaimanakah caranya untuk membuat semakan?
  • Hadir ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri/Daerah yang berdekatan;
  • Kemukakan kad pengenalan dan dokumen sokongan untuk pendaftaran;
  • Isi borang permohonan; (Muat turun borang disini)
  • Pegawai akan menyemak nombor kad pengenalan individu yang dirujuk.
 
7.  Berapa lama tempoh menunggu untuk mendapatkan maklum balas carian?
Keputusan carian akan diperolehi dalam masa 5 hari bekerja.
 
8.  Bagaimanakah keputusan maklumat carian disampaikan kepada pemohon?
Keputusan carian akan disampaikan secara terus kepada pemohon yang hadir ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri atau melalui emel/faks/surat sama ada ADA REKOD atau MEMERLUKAN SEMAKAN LANJUT.Keputusan semakan lanjut akan dihantar kepada pemohon dalam tempoh 25 hari bekerja.
 
9.  Adakah maklumat dalam Daftar Kanak-Kanak boleh didedahkan kepada umum?
Maklumat pelaku tidak boleh didedahkan kepada umum. Merujuk kepada Seksyen 121 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mana-mana orang yang memberi mana-mana orang lain apa-apa butir yang terkandung dalam Daftar selain menurut seksyen 120 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
 
10.  Adakah semakan boleh dibuat untuk kes jenayah yang lain?
Buat masa ini semakan dalam Daftar Kanak-kanak hanya terhad untuk kes JENAYAH SEKSUAL terhadap kanak-kanak sahaja.
 
11.  Apakah kegunaan keputusan semakan?
Keputusan semakan adalah untuk tujuan permohonan semakan sahaja.
 
12.  Jika carian keputusan TIADA REKOD, adakah ini menjamin keselamatan kanak-kanak?
Ibu bapa haruslah sentiasa mengambil langkah untuk melindungi keselamatan kanak-kanak. Adalah amat penting untuk mengambil langkah-langkah perlindungan tambahan dalam memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terjaga. Tapisan ini hanya membantu untuk menghalang risiko jenayah seksual terhadap kanak-kanak daripada berulang.
 
13.  Bilakah permohonan semakan pesalah jenayah seksual kanak-kanak mula berkuatkuasa?
Permohonan semakan pesalah jenayah seksual kanak-kanak berkuatkuasa mulai 1 April 2019.
Tarikh Kemaskini : 16/04/2019