Kemasukan Kanak-kanak Tidak Terkawal ke Institusi JKMM

Bagaimanakah caranya untuk memasukkan kanak-kanak tidak terkawal (beyond parental control) atau nakal ke Institusi Pemulihan JKM?

Ibu bapa atau penjaga yang sah bagi kanak-kanak, boleh membuat permohonan bertulis kepada Mahkamah Bagi Kanak-kanak dengan menyatakan mohon bantuan pemulihan terhadap tingkah laku yang sering dilakukan oleh anak yang tidak terkawal. Tingkah laku itu mungkin mendorong kepada bahaya jenayah atau mendorong kepada bahaya moral. Berdasarkan surat permohonan itu mahkamah akan mengarahkan Pegawai Kebajikan Masyarakat / Pegawai Akhlak menyiasat keadaan sebenar dengan menyediakan satu Laporan Akhlak. Mahkamah akan menetapkan satu tarikh untuk bersidang dengan kehadiran pemohon, anak yang tidak terkawal dan Pegawai Akhlak. Mahkamah boleh membuat keputusan samada:

Memerintahkan kanak-kanak diletak dalam Pengawasan Pegawai Akhlak dalam tempoh tertentu. Satu hingga tiga tahun. Boleh juga mengenakan syarat tinggal di Asrama Akhlak tidak lebih satu tahun. Selepas tinggal di asrama kanak-kanak akan diawasi selama tempoh baki Perintah Pengawasan yang ada. Jika kanak-kanak masih mengulangi tingkah laku negatif, boleh dihantar ke Sekolah Tunas Bakti.

Menghantar kanak-kanak itu ke Sekolah Tunas Bakti selama 3 tahun. Selepas keluar dari institusi pulang ke pangkuan keluarga, kanak-kanak masih diselia oleh Pegawai Akhlak selama satu tahun. Jika melanggar syarat yang ditetapkan boleh dikembalikan semula ke institusi.
Tarikh Kemaskini : 03/08/2016