Warga JKM

Kerja Sosial di Malaysia

(MELALUI PENUBUHAN PIAWAIAN KOMPETENSI DAN PENGGUBALAN AKTA PEKERJA SOSIAL)

RASIONAL

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (PPSM) dan the United Nations Children’s Fund (UNICEF) sedang menerajui pengenalan era baru profesionalisme dalam kerja sosial berlandaskan amalan terbaik di peringkat antarabangsa yang berasaskan kompetensi. Inisiatif ini akan ada kesan positif terhadap masalah sosial yang kompleks yang telah muncul dalam dunia yang kian global dengan perubahan yang pesat.

Jemaah Menteri telah meluluskan beberapa cadangan oleh KPWKM pada 23 April 2010 seperti berikut:

  1. Mewujudkan Piawaian Kompetensi Kerja Sosial Kebangsaan;
  2. Menggubal Akta Kerja Sosial untuk melaksanakan piawaian kompetensi kerja sosial;
  3. Menubuhkan Majlis Kerja Sosial di bawah Akta Kerja Sosial untuk mengawal pengamal dan pendidik kerja sosial;
  4. Menyelaras program pendidikan kerja sosial di institusi pengajian tinggi;
  5. Untuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melantik pekerja sosial yang berkelayakan ke dalam sektor awam; dan
  6. Meningkatkan Institut Sosial Malaysia dan institusi latihan lain yang diakreditasi untuk menawarkan kursus kerja sosial di peringkat sijil dan diploma.

Inisiatif ini telah diambil untuk menangani kemerosotan keupayaan sektor tradisional penjagaan tidak formal yang merangkumi keluarga, saudara dan komuniti untuk menghadapi masalah individu dan sosial yang kompleks dalam masyarakat.

Rasional tindakan ini disokong oleh risiko kecederaan yang kian meningkat ke atas klien sekiranya pekerja sosial tidak mempunyai kompetensi yang bersesuaian untuk memenuhi keperluan mereka.

Oleh yang demikian, usaha memprofesionalisasikan kerja sosial merupakan peristiwa yang penting di Malaysia ke arah menetapkan sumber dalam kerajaan untuk memudahkan perbekalan dan penyampaian perkhidmatan sosial yang efisien, berkesan dan bersesuaian. Ia mencerminkan komitmen JKM, KPWKM, PPSM dan UNICEF terhadap penjagaan, keselamatan dan perlindungan semua rakyat, khususnya golongan yang berkeperluan seperti kanak-kanak dan keluarga, orang kurang upaya, warga tua, orang yang mengidap masalah fizikal dan mental dan kumpulan lain yang menghadapi penindasan dan ancaman.

1. Buku Kemahiran Kerja Sosial
2. Buku Penyeliaan Kerja Sosial

Tarikh Kemaskini : 09/09/2021