• Objektif: memastikan pelaksanaan pengurusan kes kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan pemulihan mengikut akta dan peraturan yang berkaitan.
     
    Bagi pengurusan kes pemulihan yang yang dikendalikan oleh Pegawai Akhlak dan Pelindung adalah merangkumi:
     
    1. Kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah/ konflik undang-undang (Pegawai Akhlak);
    2. Kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan pemulihan/ terdedah kepada bahaya moral (Pelindung); dan
    3. Kanak-kanak luar kawalan ibu bapa penjaga (Pegawai Akhlak);
     
    Pengendalian kes-kes berkenaan adalah bermatlamatkan “pemulihan” dan bukannya “hukuman”. Ianya bertujuan untuk membantu kanak-kanak memahami diri mereka, hubungan dengan orang lain dan pengharapan mereka sebagai seorang ahli dalam masyarakat. Dalam konteks pemulihan sama ada di dalam atau luar institusi, tugas Pegawai JKM adalah untuk menjalin hubungan yang bermakna dengan kanak-kanak serta membantu mereka mengubah corak pelakuan sejajar dengan nilai-nilai masyarakat.
     

    Tarikh Kemaskini :25/03/2021

  • Pengurusan kes terhadap kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah adalah melibatkan seseorang yang telah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah yang ditetapkan di bawah Seksyen 82 Kanun Keseksaan akan dikendalikan oleh Pegawai Akhlak (PA). Berdasarkan Seksyen 10(1) Akta Kanak-Kanak 2001, PA dilantik oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui pemberitahuan dalam warta. Pengendalian kes adalah berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001, Kanun Prosedur Jenayah dan Kanun Keseksaan (Akta 574) seperti berikut:

     1. Penerimaan Kertas Pertuduhan (Charge Sheet)
    1. Apabila menerima kertas pertuduhan (charge sheet) dari Mahkamah/ pihak Polis, semakan akan dilakukan sama ada kes baharu atau berulang.
    2. Menjalankan Siasatan
    1. Siasatan akan dilakukan oleh PA bagi tujuan penyediaan Laporan Akhlak (LA) berdasarkan peruntukan Subseksyen 90(13) Akta Kanak-Kanak 2001.
    2. LA hendaklah disediakan secara komprehensif yang merangkumi maklumat kanak-kanak, ibu bapa/ penjaga, keluarga, kelakuan kanak-kanak, persekitaran kediaman, rekod persekolahan, maklumat kesihatan dan lain-lain maklumat berkaitan kanak-kanak.
    3. Sekiranya kanak-kanak dan keluarga tinggal di luar daerah/ jajahan/ bahagian, LA daripada PA daerah/ jajahan/ bahagian berkenaan akan dimohon dan pemakluman tarikh MBKK bersidang.
    3. Menghadiri Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK)
    1. Pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan, PA akan menghadiri sidang Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) bersama kanak-kanak yang dipertuduh dan ibu bapa/ penjaga kepada kanak-kanak berkenaan.
    2. Semasa sidang tersebut, fakta kes akan dibacakan dan setelah diakui benar, PA akan kemukakan LA untuk membantu MBKK membuat keputusan.
    3. Kanak-kanak, ibu bapa/ penjaga diberi peluang untuk mengemukakan representasi sebelum MBKK membuat keputusan.
    2.4. Keputusan MBKK
    1. Keputusan MBKK adalah berdasarkan Subseksyen 91(1)(a) hingga (h) AKK 2001 iaitu:
      1. memberikan amaran dan melepaskan kanak-kanak;
      2. melepaskan kanak-kanak setelah menyempurnakan bon untuk berkelakuan baik dan mematuhi syarat-syarat mahkamah;
      3. kanak-kanak diletakkan dalam pemeliharaan saudara atau orang lain yang layak dan sesuai;
      4. kanak-kanak membayar denda, pampasan atau kos;
      5. membuat perintah khidmat masyarakat;
      6. membuat suatu perintah percubaan di bawah seksyen 98;
      7. kanak-kanak dihantar ke Sekolah Yang Diluluskan atau Sekoleh Henry Gurney;
      8. mengenakan hukuman pemenjaraan (bagi berusia 14 tahun ke atas) tertakluk kepada seksyen 96(2) yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.
    2. Sekiranya kanak-kanak dan keluarga tinggal di luar daerah/ jajahan/ bahagian, pemakluman kepada PA daerah/ jajahan/ bahagian berkenaan akan dibuat.
    3. Sekiranya kanak-kanak diperintah untuk menjalani pengawasan, kanak-kanak dan ibu bapa hendaklah melapor diri di Pejabat Kebajikan Masyarakat berdasarkan ketetapan Perintah Mahkamah.
    4. Kanak-kanak yang dibebaskan daripada institusi pemulihan juga hendaklah menjalankan pengawasan (jagaan susul).

    Tarikh Kemaskini :17/09/2021

  • Pengurusan kes terhadap kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan pemulihan di bawah Subseksyen 38 (a) hingga (f) Akta Kanak Kanak 2001 adalah bagi kategori kanak-kanak yang diselamatkan akibat terdedah kepada aktiviti bahaya moral. Pengurusan kes terhadap kanak-kanak ini akan dikendalikan oleh Pelindung.
     
    Berdasarkan Seksyen 8(1) Akta Kanak-Kanak 2001, Pelindung dilantik oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui pemberitahuan dalam warta. Pengendalian kes adalah berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001 seperti berikut:
     
    1. Memindahkan Kanak-Kanak Ke Tempat Perlindungan
    1. Kanak-kanak yang dikategorikan di bawah perenggan 38 AKK 2001 hendaklah dipindahkan serta-merta oleh Pelindung/ Pegawai Polis ke Tempat Perlindungan berdasarkan Subseksyen 39(1) AKK 2001.
    2. Dalam tempoh 24 jam, kanak-kanak berkenaan hendaklah dibawa ke hadapan MBKK/ Majistret untuk mendapatkan perintah sementara penempatan kanak-kanak ke Tempat Perlindungan bagi tujuan siasatan lanjut oleh Pelindung.
     
    2. Menjalankan Siasatan
    1. Pelindung hendaklah menyemak dalam Buku Daftar adalah kes baharu atau berulang.
    2. Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pelindung bagi tujuan penyediaan Laporan Siasatan dalam tempoh tidak lebih satu bulan dari perintah sementara dikeluarkan.
     
    3. Menghadiri Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK)
    1. Pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan, Pelindung akan menghadiri sidang Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) bersama kanak-kanak yang yang diselamatkan dan ibu/ bapa/ penjaga kepada kanak-kanak berkenaan.
    2. Semasa sidang tersebut, MBKK akan menimbangkan Laporan Siasatan yang dikemukakan oleh Pelindung.
     
    4. Keputusan MBKK
    1. Keputusan MBKK adalah berdasarkan Subseksyen 40(1)(a) hingga (e) AKK 2001 setelah mengambil kira meletakkan kanak-kanak dalam pemeliharaan berasaskan keluarga (PBK) adalah yang sebaik-baiknya.
    2. Pada tarikh yang ditetapkan, Pelindung akan hadir ke MBKK bersama kanak-kanak dan ibu/ bapa/ penjaga.
    3. MBKK yang bersidang boleh membuat suatu perintah sama ada:
      1. ibu bapa/ penjaga kanak-kanak menyempurnakan suatu bon dengan atau tanpa penjamin selama tidak lebih 3 tahun;
      2. kanak-kanak diletakkan dalam pemeliharaan orang yang layak dan sesuai sama ada saudara atau bukan saudara yang sanggup memelihara kanak-kanak selama tempoh tidak melebihi 3 tahun;
      3. meletakkan kanak-kanak di bawah pengawasan Pegawai Kebajikan Masyarakat bagi tempoh tidak lebih 3 tahun;
      4. meletakkan kanak-kanak si suatu pusat selama tempoh tidak melebihi 3 tahun;
      5. meletakkan kanak-kanak di suatu Tempat Perlindungan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun.
      6. Pengawasan ke atas kanak-kanak yang dibebaskan dari Tempat Perlindungan dilakukan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat atau mana-mana individu yang dilantik oleh Pelindung berdasarkan Subseksyen 40(8) AKK 2001.
    4. iv. Pengawasan ke atas kanak-kanak yang dibebaskan dari Tempat Perlindungan dilakukan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat atau mana-mana individu yang dilantik oleh Pelindung berdasarkan Subseksyen 40(8) AKK 2001.

    Tarikh Kemaskini :25/03/2021

  • Kanak-kanak yang memerlukan perlindungan segera di bawah Subseksyen di bawah perenggan 41(2)(a) hingga 41(2)(d) Akta Kanak Kanak 2001 adalah bagi kategori kanak-kanak yang terdedah kepada aktiviti bahaya moral serta kanak-kanak yang hamil luar nikah. Pengurusan kes terhadap kanak-kanak ini akan dikendalikan oleh Pelindung.
     
    Berdasarkan Seksyen 8(1) Akta Kanak-Kanak 2001, Pelindung dilantik oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui pemberitahuan dalam warta. Pengendalian kes adalah berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001 seperti berikut:
     
    1. Permohonan Kemasukan Ke Tempat Perlindungan
    1. Permohonan boleh dibuat oleh kanak-kanak sendiri atau ibu/ bapa/ penjaga dengan hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berdekatan atau kepada Pengetua sesebuah Tempat Perlindungan.
    2. Semakan akan dibuat sama ada permohonan merupakan kes baharu atau berulang.
     
    2. Kemasukan Ke Tempat Perlindungan
    1. Kanak-kanak yang diterima masuk ke Tempat Perlindungan akan dibenarkan tinggal di Tempat Perlindungan tersebut selagi Pelindung berpuas hati bahawa kanak-kanak berkenaan memerlukan perlindungan segera.
    2. Setiap kemasukan kanak-kanak dan pembebasan kanak-kanak ke/ daripada Tempat Perlindungan akan dimaklumkan kepada MBKK.
     

    Tarikh Kemaskini :25/03/2021

  • Subseksyen 2(1) Akta Kanak-Kanak 2001 mentakrifkan “kanak-kanak ialah seseorang yang di bawah umur 18 tahun”. Kanak-Kanak Tidak Terkawal pula dijelaskan melalui Seksyen 46 dan 47 Akta Kanak-Kanak 2001. Kanak-Kanak Tidak Terkawal boleh ditafsirkan sebagai kanak-kanak yang mula terlibat dalam pergaulan yang tidak sihat.
     
    Kanak-Kanak Tidak Terkawal boleh ditahan ke suatu Asrama Akhlak, Pusat, pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai atau pengawasan seorang Pegawai Akhlak atau mana-mana orang yang dilantik oleh Mahkamah melalui permohonan oleh ibu bapa kanak-kanak itu atau pelindung (dalam hal kanak-kanak tidak mempunyai penjaga).
     
    Matlamat Perkhidmatan Pengurusan Kes Kanak-Kanak Tidak Terkawal ialah memastikan kes kanak-kanak tidak terkawal diuruskan dan dikendalikan dengan sistematik dan berkesan. Pengendalian kes adalah berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001, Kanun Prosedur Jenayah dan Kanun Keseksaan (Akta 574).
     
    Proses Kerja Bagi Pengendalian Kes Kanak-Kanak Yang  Tidak Terkawal
    1. Menerima permohonan:
      1. Permohonan boleh dibuat secara bertulis/ faks/ e-mel ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah di tempat tinggal pemohon.
      2. Permohonan juga dibuat dengan hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah di tempat tinggal pemohon.
    2. Semakan akan dibuat sama ada permohonan merupakan kes baharu atau berulang.
    3. Menentukan kesahihan kes dengan menjalankan temu ramah dengan kanak-kanak/ ibu/ bapa/ penjaga:
      1. Sekiranya kes bukan tidak terkawal atau kes yang tidak serius, PA (Pegawai Akhlak) hendaklah berbincang dan memberi nasihat mengenai masalah yang dihadapi dan kes dirujuk kepada Pegawai Psikologi.
      2. Sekiranya kes dikategorikan sebagai kes tidak terkawal, khidmat nasihat akan diberikan oleh PA kepada ibu/ bapa/ penjaga untuk membuat permohonan secara bertulis kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (BKK).
    4. Jika perlu, Perintah Tahanan Sementara daripada MBKK akan dimohon sementara menunggu tarikh pendengaran MBKK.
    5. Temu ramah terhadap kanak-kanak serta ibu/ bapa/ penjaga kanak-kanak akan dilakukan oleh PA bagi penyediaan Laporan Akhlak.
    6. Pada tarikh yang ditetapkan, PA akan hadir ke MBKK bersama kanak-kanak dan ibu/ bapa/ penjaga.
    7. MBKK yang bersidang boleh membuat perintah sama ada:
      1. kanak-kanak diletakkan dalam pemeliharaan orang yang layak dan sesuai;
      2. meletakkan kanak-kanak si suatu pusat;
      3. menahan kanak-kanak di Asrama Akhlak;
      4. meletakkan kanak-kanak di bawah pengawasan Pegawai Akhlak atau mana-mana orang yang dilantik oleh Mahkamah.

    Tempoh perintah adalah ditetapkan oleh Mahkamah. Sebagai syarat tambahan, perintah juga dikeluarkan seperti dinyatakan dalam Subseksyen 46(6) dan (7) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Tarikh Kemaskini :25/03/2021