Pengendalian Warga Emas di Institusi Bagi Mencegah Penularan Wabak Coronavirus (COVID-19)

Soalan 1: Apakah Coronavirus?
Coronavirus (CoV) adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan. Terdapat beberapa jenis coronavirus seperti severe acute respiratory syndrome coronavirus (SARS) dan Middle East Respiratory syndrome-related coronavirus (MER-CoV). Coronavirus terbaru yang ditemui di China adalah Coronavirus 2019 (COVID-19).
Jangkitan Coronavirus boleh menyebabkan spektrum gejala daripada selesema biasa kepada radang paru-paru (pneumonia) yang teruk.
 
Soalan 2: Apakah gejala-gejala radang paru-paru (pneumonia) COVID-19?
Gejala radang paru-paru (pneumonia) COVID-19 adalah demam, batuk dan sukar bernafas.

Soalan 3: Bolehkah virus ini tersebar dari manusia ke manusia?
Virus ini boleh tersebar dari manusia ke manusia melalui cara berikut:
  • Bersin ataupun batuk.
  • Rembesan cecair daripada badan seperti hingus.
  • Sentuhan seperti bersalaman.
  • Sentuhan terhadap barangan seperti tombol pintu yang telah dicemari virus.
  • Terkena najis yang telah dijangkiti virus ini. 
Soalan 4: Siapakah yang berisiko untuk dijangkiti virus ini?
Golongan yang berisiko adalah golongan yang mempunyai daya tahan badan yang rendah seperti pesakit HIV, pesakit cancer, pesakit kronik seperti kencing manis, kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung dan mereka yang berkunjung ke Wuhan,China dalam tempoh sebulan dua yang lepas.
 
Soalan 5: Adakah virus ini boleh meragut nyawa?
Ya, virus ini boleh menyebabkan banyak komplikasi kesihatan seperti kegagalan sistem pernafasan, kegagalan buah pinggang dan akhirnya menyebabkan kematian.
 
Soalan 6: Apa yang perlu dibuat sekarang?
Institusi boleh mengambil langkah-langkah berikut untuk menilai dan meningkatkan kesediaan dalam mencegah penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19).
1. Mengawal aktiviti institusi
  • Menggantung semua lawatan, program dan penyertaan dalam aktiviti luaran untuk mengurangkan risiko pendedahan penghuni kepada orang awam.
  • Mengurangkan aktiviti dalam kumpulan yang besar seperti perhimpunan kakitangan dan penghuni, program CSR dan sukarelawan dari pihak luar.
  • Mengurangkan aktiviti yang merentasi kemudahan, asrama atau blok.
  • Menjalankan aktiviti dalam kumpulan yang lebih kecil.
2. Kehadiran pelawat dan sukarelawan
Kehadiran pihak luar seperti pelawat dan sukarelawan tidak dibenarkan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuatkuasa atau suatu tempoh sehingga wabak tamat melainkan penghuni mengalami sakit atau dalam keadaan istimewa yang dipersetujui oleh Ketua Institusi seperti jika penghuni mengalami penyakit yang kronik yang memerlukan kehadiran ahli keluarga.
Pelawat tidak dibenarkan masuk jika ada:
  • Sejarah perjalanan ke mana-mana negara dalam 14 hari terakhir.
  • Potensi hubungan dengan sesiapa yang telah diuji untuk COVID-19 melainkan keputusannya negatif.
  • Berada dengan sesiapa yang positif COVID-19 dalam 14 hari yang lalu.
  • Mempunyai tanda penyakit terutamanya demam, batuk dan sesak nafas.
 
Soalan 7: Apakah tindakan Institusi dalam mencegah dan mengawal penularan penyakit COVID-19 ini?
Semua Institusi hendaklah memantau situasi wabak jangkitan COVID-19 ini secara harian melalui sumber-sumber yang sahih, di samping menjalankan aktiviti-aktiviti berikut:
  • Membuat saringan gejala di pintu-pintu masuk Institusi.
  • Memastikan bekalan thermometer dan alat pelindungan seperti hand sanitizer, topeng muka dan sarung tangan mencukupi.
  • Membuat semburan nyahkuman / disinfeksi di persekitaran Institusi terutamanya pada permukaan yang mudah dicemari seperti pintu, kerusi dan tempat pemegang.
  • Meningkatkan kefahaman, kesedaran dan latihan kepada kakitangan khususnya penggunaan alat pelindung seperti sarung tangan, penutup hidung dan mulut (mask), penutup kepala dan sarung pakaian yang betul.
  • Memakai topeng muka di mana perlu terutamanya jika terdapat penghuni yang tidak sihat dan mempunyai batuk ringan atau biasa, selesema atau demam.
  • Mengamal penjarakan sosial dalam Institusi.
  • Memastikan Institusi sentiasa berada dalam keadaan bersih.
  • Memastikan penghuni memakai topeng muka jika mempunyai simptom-simptom seperti batuk, selsema dan demam.
  • Elakkan perkongsian peralatan makanan dan penjagaan diri penghuni.
  • Cuci peralatan makanan yang digunakan dengan air dan sabun pencuci sebelum digunakan semula.
  • Buka semua tingkap untuk pengudaraan asrama yang baik. 
Soalan 8: Apakah yang perlu dilakukan jika terdapat penghuni tidak sihat?
Penghuni yang tidak sihat hendaklah diasingkan di bilik pengasingan dan perlu mendapatkan pemeriksaan segera Pegawai Perubatan di klinik/hospital.
 
Soalan 9: Bagaimanakah temujanji dan pemeriksaan kesihatan penghuni ketika PKP?
Institusi hendaklah menghubungi klinik/hospital berkenaan bagi pemeriksaan kesihatan penghuni sama ada perlu hadir pada tarikh yang ditetapkan atau ke tarikh baharu yang dirasakan kemungkinan wabak surut/berakhir. Sekiranya ada penghuni yang kehabisan ubat sementara tarikh tundaan, hubungi klinik/hospital untuk penambahan stok ubat.
 
Soalan 10:  Adakah boleh menerima sumbangan CSR dari pihak luar?
Boleh. Walaubagaiman pun pihak luar tidak dibenarkan masuk ke Institusi  bagi mencegah penularan wabak Covid-19. Barang sumbangan boleh diserah/diterima di Pos Pengawal. 
 
Soalan 11: Adakah pekerja kontrak perkhidmatan swasta boleh memasuki Institusi sepanjang tempoh PKP ini?
Ya. Pekerja kontrak perkhidmatan swasta seperti pembersihan dan keselamatan perlu menjalankan tugas seperti yang dipersetujui di dalam kontrak berkenaan. Namun, pihak Institusi hendaklah mengambil langkah-langkah pencegahan seperti pemeriksaan suhu badan setiap hari, pemakaian topeng muka dan menjarakkan diri sekurangnya 1 meter dari orang lain.
 
Soalan 12:  Bagaimanakah bekalan makanan dan keperluan penghuni ketika PKP?
Bekalan makanan dan keperluan penghuni hendaklah mencukupi dengan nilai stok 1 bulan bagi memastikan ianya tidak terputus dalam tempoh tersebut. Pihak Institusi juga perlu memastikan pembekal mematuhi langkah-langkah sanitasi yang ditetapkan. Antara langkah-langkah yang perlu diambil adalah memastikan hanya pekerja bebas-gejala dibenarkan memasuki Institusi, amalkan “social distancing”, pencucian tangan yang kerap serta amalan-amalan lain seperti garis panduan yang telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa lain.
 
Soalan 13: Bolehkah penghuni institusi berjumpa dengan ahli keluarga atau pihak luar sepanjang tempoh PKP?
Semua perjumpaan penghuni dengan ahli keluarga ditangguhkan.
Ini termasuklah semua perpindahan penghuni ke institusi lain dan juga kemasukan penghuni baharu terpaksa ditangguhkan.
 
Soalan 14:  Adakah solat berjemaah di surau dibolehkan?
Kakitangan dan penghuni yang bergejala seperti batuk, selsema dan demam serta khuatir dijangkiti COVID-19, dinasihatkan untuk tidak menunaikan solat berjemaah dibimbangi akan menjangkiti orang lain. Namun, ketetapan solat jemaah sepanjang tempoh PKP ini adalah terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.
 
Soalan 15:  Bagaimanakah urusan pengebumian jenazah penghuni ketika PKP ini?
Pengebumian jenazah penghuni hendaklah dilaksanakan mengikut anutan agama masih-masih dan ia terhad kepada 10 hingga 15 orang bagi urusan berkenaan termasuk ahli keluarga terdekat dengan si mati. Pihak institusi juga tidak dibenarkan mengadakan majlis tahlil atau sebarang majlis pengingatan bagi kematian berkenaan.
Apabila berlaku kematian di hospital, jenazah hendaklah diuruskan (mandi dan kafan) di hospital terbabit, sebaliknya jika ia berlaku di Institusi, Ketua Institusi perlu mendapatkan nasihat Pegawai Kesihatan sama ada jenazah diuruskan di hospital atau di Institusi. Mereka yang menguruskan jenazah hendaklah menggunakan penutup mulut dan hidung, apron dan sarung tangan selain menggelakkan air mandian terpercik atau terkena pengendali.
 
 
Bahagian Warga Emas
Jabatan Kebajikan Masyarakat
1 April 2020
 
Tarikh Kemaskini : 25/04/2024