Majlis Kebangsaan Bagi OKU
 
Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya yang dinyatakan di bawah Seksyen 3(1), Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) telah dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada bulan Ogos 2008. Ini merupakan satu lagi milestone untuk membincangkan isu-isu OKU di peringkat atasan kerana Majlis ini dipengerusikan oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
 
Matlamat penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya adalah selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya dan Pelan Tindakan Nasional Orang Kurang Upaya dalam masyarakat. Untuk mencapai matlamat ini, satu usaha kolektif telah dibuat oleh Majlis dengan menggunakan pendekatan multi-sectoral dan multi-collaboration dengan agensi-agensi berkaitan yang lain.
 
Antara fungsi dan peranan Majlis adalah untuk menyelia pelaksanaan dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan OKU, untuk membuat syor kepada Kerajaan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU, memantau aktiviti semua kementerian, agensi, badan atau pertubuhan, kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pelaksanaan, dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan OKU, dan mengesyorkan kepada Kerajaan perubahan kepada undang-undang sedia ada dan juga mencadangkan undang-undang baru bagi menjamin penyertaan penuh OKU dalam masyarakat.
 
Selain itu, Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya juga berperanan untuk membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat bagi meningkatkan kesedaran berhubung dengan OKU,  menasihati Kerajaan mengenai isu ketidakupayaan termasuk perkembangan di peringkat antarabangsa,  mengumpul data dan maklumat serta menggalakkan penyelidikan yang berhubungan dengan OKU, untuk menggalakkan pembangunan latihan awal dan berterusan bagi golongan profesional dan kakitangan yang bekerja dalam perkhidmatan habilitasi dan rehabilitasi dan untuk menggalakkan peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya bagi OKU dalam pasaran buruh.
 
Majlis yang mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali setahun akan membincangkan pelbagai isu atah hal yang memerlukan keputusan dan pandangan wakil agensi dan wakil OKU. Keanggotaannya adalah terdiri daripada 10 orang wakil dari agensi kerajaan dan 10 orang individu yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran mengenai isu dan pemasalahan OKU.
 
 
Jawatankuasa di bawah Majlis Kebangsaan Bagi OKU

Enam jawatankuasa yang telah ditubuhkan untuk membantu Majlis dalam memainkan peranan dan fungsinya dalam membangunkan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini. Penubuhan Jawatankuasa ini telah dibuat pada Mesyuarat kali pertama Majlis yang telah diadakan pada 14 Ogos 2008. Jawatankuasa-Jawatankuasa  tersebut adalah Jawatankuasa Reka Bentuk Sejagat dan Alam Bina, Jawatankuasa Pengangkutan, Jawatankuasa Quality Life Care, Jawatankuasa Pendidikan, Jawatankuasa Pekerjaan, dan  Jawatankuasa Pendaftaran Orang Kurang Upaya. Setiap jawatankuasa dipengerusikan oleh pegawai tertinggi Kementerian iaitu Ketua Setiausaha Kementerian (KSU).
 
Jawatankuasa Reka Bentuk Sejagat dan Alam Bina dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Jawatankuasa ini memberi tumpuan kepada isu-isu aksessibiliti bangunan, ruang awam dan penggunaan peralatan atau kemudahan yang ‘universal design’ dalam setiap rekabentuk yang mana peralatan ini boleh digunakan oleh semua golongan masyarakat termasuklah OKU, orang tua, kanak-kanak dan ibu mengandung. Antara fokus utama Jawatankuasa Reka Bentuk Sejagat dan Alam Bina ini adalah memberi kesedaran dan mengadakan program advokasi tentang aksessibiliti Orang Kurang Upaya kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Arkitek, Perancang, Jurutera  dan JKR serta member kesedaran awal tentang konsep Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) kepada penuntut Jurusan Seni Bina. Selain itu, Jawatankuasa ini juga sering mengambil langkah untuk mewartakan piawaian sedia ada seperti Piawaian MS 1331 untuk dijadikan sebagai Undang-undang.
 
Jawatankuasa Pengangkutan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Pengangkutan. Jawatankuasa ini memberi tumpuan kepada isu-isu aksessibiliti yang berkaitan dengan pengangkutan seperti bas, keretapi, feri, dan juga kapal terbang. Selain daripada itu, Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab untuk memastikan stesyen pengangkutan awam di negara ini menyediakan kemudahan mesra OKU di setiap stesyen mereka. Antara aktiviti utama Jawatankuasa Pengangkutan ialah untuk mengeluarkan, mengeluarkan Garis Panduan Rekabentuk Bas, Pembelian Bas RapidKL dan Rapid Penang yang memiliki Universal Access, perkhidmatan pengangkutan khas ‘Rapid Mobiliti’, Pengecualian caj penggunaan kerusi roda oleh syarikat penerbangan, pembelian 53 unit portable ramp. Selain itu, penambaikan dan penyediaan kemudahan di stesen-stesen KTM Komuter dan menaiktarif 25 stesen LRT Aliran Ampang supaya Mesra OKU di samping pengeluaran pelekat kereta bagi  kenderaan OKU.          Semua tindakan ini telah banyak membantu golongan OKU untuk menjadi inklusif bersama masyarakat lain. Ini penting untuk memastikan OKU mampu berdikari dan menikmati kehidupan seperti orang lain. Kini OKU sudah mula bekerja di sektor awam dan swasta dengan menaiki kenderaan awam. Ini merupakan antara kejayaan penting Majlis Kebangsaan Bagi OKU. 
 
Jawatankuasa Pekerjaan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia. Jawatankuasa ini memberi tumpuan khusus kepada isu yang berkaitan pekerjaan kepada OKU. Jawatankuasa ini menjalankan program-program seperti pendaftaran dan penempatan OKU di sektor swasta, penempatan satu peratus warga OKU dalam sektor awam, menjalankan promosi penggalakkan penggajian OKU, mewujudkan Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU (SBGP-OKU) dan Program Return to Work, PERKESO. Hasilnya ramai OKU telah mendapat bantuan kewangan untuk memperkembang perniagaan mereka di samping menggaji OKU yang lain. Ini merupakan satu lagi kejayaan yang telah dikecapi oleh Majlis Kebangsaan Bagi OKU dengan bantuan dan sokongan Kementerian dan agensi kerajaan yang lain. Umpama kata di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan, setiap OKU yang sanggup berusaha dengan bersungguh-sungguh dan komited terhadap pekerjaan atau perniagaan yang diceburi pasti akan mendapat perhatian.  
 
Jawatankuasa Pendidikan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Jawatankuasa ini memberi tumpuan kepada isu pendidikan kepada OKU, termasuklah penyediaan prasarana yang mesra OKU di sekolah-sekolah. Selain itu, Jawatankuasa Pendidikan juga telah cuba mengitegrasikan murid OKU dengan dasar-dasar yang diperkenalkan. Misalnya Dasar 1 Murid, 1 Sukan telah menyediakan peluang dan ruang kepada murid berkeperluan khas melibatkan diri dalam sukan dan permainan. Bengkel Penyediaan Modul Latihan 1 Murid  1 Sukan,  telah dijalankan dan hasilnya Garis Panduan Dasar 1 Murid 1 Sukan Pendidikan Khas telah dibangunkan.
 
Jawatankuasa Quality Life Care (QLC) dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan. Jawatankuasa ini  memberi tumpuan kepada isu yang berkaitan penjagaan kesihatan, rawatan, rehabilitasi, habilitasi, pengesanan dan intervensi awal kepada OKU. Antara aktiviti jawatankuasa ini adalah membuat pencegahan dan pengesanan awal ketidakupayaan kanak-kanak 0-1 tahun. Selain itu, Jawatankuasa Quality Life Care juga mewujudkan clearinghouse bagi mengumpul dan menyebarluas maklumat penyelidikan ketidakupayaan dan OKU, menyebarluas maklumat berkaitan borang pendaftaran baru kepada anggota kesihatan, mengadakan taklimat ke seluruh negara berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif OKU, menyediakan perkhidmatan jagaan dan sokongan bagi keluarga / penjaga OKU dan menyediakan kertas cadangan keperluan personel kesihatan rehabilitasi di agensi kerajaan (kesihatan, pendidikan dan kebajikan). Jawatankuasa QLC kini memainkan peranan penting dalam memastikan kadar OKU dikurangkan di kalangan kelahiran baru. Ini penting untuk memastikan bilangan kanak-kanak yang OKU di negara kita adalah rendah.
 
Jawatankuasa Pendaftaran Orang Kurang Upaya juga ditubuhkan  di bawah Majlis Kebangsaan Bagi OKU. Jawatankuasa ini juga dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Jawatankuasa ini berperanan memberi tumpuan kepada isu yang berkaitan pengeluaran kad OKU, pendaftaran OKU, promosi dan penggalakan pendaftaran OKU. Antara fokus utamanya adalah membuat kempen pendaftaran OKU termasuk melalui media. Selain itu,  borang permohonan pendaftaran OKU sentiasa dikemaskini dan diperluaskan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), LPPKN, Jabatan Tenaga Kerja dan lain-lain tempat. Jawatankuasa Pendaftaran telah memainkan peranan penting sehingga  terhasilnya  sutu sistem pengkalan data yang komprehensif tentang OKU yang pertama di Malaysia iaitu Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU)  yang telah dilancarkan mulai 1 Ogos 2011. Sistem pengurusan pintar secara maya yang merangkumi sistem pendaftaran OKU, pangkalan data, laporan statistik dan pemantauan berpusat ini sangat penting untuk mengetahui bilangan, kedudukan keadaan OKU di negara kita secara on the spot.  Pendaftaran menerusi sistem SMOKU yang bermula sejak 1 Ogos 2011 telah mengeluarkan Kad OKU bermutu tinggi kepada hampir 390 ribu OKU sehingga kini.
 
 
Tarikh Kemaskini : 20/04/2024