ECCCE

LATAR BELAKANG / SEJARAH
 
Sebelum wujudnya Dasar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak (2008), di negara Malaysia telah terdapat Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (Akta TASKA 1984) - juga dikenali sebagai Akta 308. Akta ini mewajibkan semua TASKA didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia untuk tujuan pemantauan kualiti dan bantuan khidmat perundingan dan latihan. Semua pihak yang ingin membuka TASKA atau yang berminat menjadi pengasuh di TASKA diwajibkan mengikuti Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak (KAAK). Selain itu, terdapat pula Akta Kanak-kanak 2001 dan pindaan 2011 (yang dinamakan Akta 611). Akta ini dibentuk sehaluan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Kanak-kanak (CRC) yang ditandatangi oleh negara Malaysia pada tahun 1995. Akta 611 menyatakan dengan jelas hak kanak-kanak untuk mendapat pendidikan yang berkualiti, selain daripada hak untuk mendapat penjagaan dan perlindungan daripada ibu bapa/penjaga atau negara daripada kemiskinan, penderaan, pengabaian dan eksploitasi, dan hak untuk bersuara.
 
Dasar Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan 2008
 
"Dasar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan ialah dasar yang komprehensif bagi memastikan perkembangan yang holistik bagi semua kanak-kanak dari lahir hingga 4 tahun. Ia menjadi asas kukuh kepada pembangunan potensi kanak-kanak berlandaskan acuan Malaysia. Dasar ini adalah pengukuh serta pelengkap kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan sedia ada".
 
Objektif Dasar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan adalah:-
 
Menyediakan asas kepada pembangunan potensi insan yang seimbang dan optimum berlandaskan acuan tersendiri dengan mengambil kira nilai-nilai tempatan dan amalan bijak antarabangsa;
menggalakkan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun mendapat asuhan dan didikan yangberkualiti bagi merangsang perkembangan awal mereka yang sesuai mengikut kumpulan umur dari segi fizikal, bahasa, kognitif, sosio-emosi dan rohani dalam persekitaran yang selamat, sihat dan menyeronokkan;
membangunkan kurikulum yang komprehensif bagi perkembangan awal kanak-kanak secara menyeluruh meliputi pendidikan, pengasuhan, nutrisi dan kesihatan;
mewujudkan kemudahan infrastruktur dan persekitaran pembelajaran termasuk peralatan pembelajaran yang berkualiti bagi membolehkan pencapaian hasil pembelajaran yang positif;
menggalakkan penglibatan dan hubungan yang teguh antara ibu bapa, Kerajaan, pihak swasta dan juga badan bukan kerajaan serta kumpulan masyarakat setempat di dalam pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak;
meningkatkan kesedaran awam terhadap keperluan memberikan pendidikan awal kanak-kanak dari lahir hingga ke 4 tahun sebagai asas utama pembangunan holistik mereka sebelum memasuki alam persekolahan formal; dan
memastikan pewujudan dan pelaksanaan sistem pemantauan dan penilaian keberkesanan program asuhan dan didikan awal kanak-kanak.
 
 
 
FALSAFAH KURIKULUM PERMATA NEGARA
 
“Sejak lahir kanak-kanak sudah boleh diasuh dan dididik bagi mengembangkan sahsiah, potensi dan kecerdasan mereka agar dapat menguasai kemahiran berkomunikasi, awal literasi, awal matematik, pemikiran logik, dan pengetahuan asas tentang dunia persekitaran, di samping kemahiran mengurus diri dan amalan nilai-nilai murni agar menjadi individu yang bersahsiah mulia, berdikari, berintelek tinggi, patriotik, dan dapat menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi moden dan persekitaran pelbagai budaya dalam negara dan antarabangsa. Usaha ini memerlukan komitmen dan kolaborasi antara pendidik, ibu bapa dan komuniti, kerana setiap kanak-kanak umpama PERMATA yang tidak ternilai harganya".
 
KURIKULUM PERMATA NEGARA BERPEGANG KEPADA PRINSIP-PRINSIP BERIKUT:
Setiap kanak-kanak mempunyai potensi yang sangat unik yang perlu dihormati, dikembangkan dan disanjungi;
Tiga tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak adalah sangat kritikal (mengikut kajian neurosains), terutama dalam pembentukan sahsiah, membina kemahiran sensorimotor dan intelek;
Kanak-kanak secara semulajadi suka meneroka, mencuba, mengeksperimen, dan mencipta, maka cara terbaik mengasuh dan mendidik kanak-kanak ialah melalui bermain, dalam suasana dan persekitaran yang ceria, selesa dan menggembirakan mengupayakan, selamat dan penuh kasih sayang;
Amalan dan sumber pembelajaran adalah bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak, menggunakan bahan-bahan dalam persekitaran mereka, sesuai dengan budaya tempatan, berintegrasi teknologi dan jaringan global.
Persekitaran pembelajaran hendaklah ceria, mesra, mengupayakan dan
merangsangkan, dalaman dan luaran yang selamat kepada kanak-kanak.Kolaborasi dengan ibu bapa/keluarga dan komuniti menjadi teras penting dalam menentukan kejayaan kurikulum PERMATA Negara.
Menghormati hak asasi, agama dan budaya kanak-kanak, normal dan yang berkeperluan khas.
 
Kurikulum ini dibentuk hasil penelitian mendalam ke atas pelbagai penyelidikan yang dijalankan di dalam dan luar negara. Ia juga mengambil kira kajian dan tinjauan yang telah dibuat ke atas beberapa Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak yang telah dilaksanakan di Negara-Negara maju di dunia. Di samping itu, ia juga direkabentuk berlandaskan teori dan falsafah yang mantap, yang mengintegrasikan kepelbagaian budaya dan agama selaras dengan suasana pelbagai kaum di Malaysia. Matlamatnya adalah bersifat global dan futuristik supaya menghasilkan generasi baru yang akan meletakkan negara di mercu tinggi dan setara dengan negara-negara maju di dunia. Kurikulum PERMATA Negara juga telah dipastikan berpaksikan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan berteraskan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Semasa proses pembinaannya, pihak penggubal telah mengkaji dan melihat beberapa model kurikulum awal kanak-kanak negara maju serta program asuhan dan didikan awal yang telah dilaksanakan dengan berjaya di luar negara.
Kepentingan Pembelajaran Awal Penyelidikan telah membuktikan bahawa pembelajaran awal membantu kejayaan kanak-kanak di sekolah dan kehidupan masa hadapan mereka. Potensi pembelajaran bermula sejak awal kanak-kanak dilahirkan, malah ketika di dalam kandungan lagi. Pada peringkat awal ini, kanak-kanak lebih mudah dilentur dan dibentuk peribadi dan inteleknya. Pada ketika ini, pembelajaran awal sepatutnya dimulakan untuk membantu mereka mencapai perkembangan yang menyeluruh dari segi rohani dan jasmani. Kanak-kanak pada usia 1 hingga 4 tahun sudah boleh didedahkan kepada proses pembelajaran peringkat awal yang mampu memberi kesan positif kepada tumbesarannya. Pada usia ini otak kanak-kanak seperti span yang mampu menyerap apa sahaja dengan cepat dari persekitarannya. Selain itu, menurut pakar psikologi, personaliti kanak-kanak sudah terbentuk sebelum usia mereka mencapai 5 tahun. Pengalaman awal dan persekitaran di mana kanak-kanak dibesarkan adalah faktor utama yang mencorakkan personaliti mereka. Personaliti yang terbentuk di peringkat awal telah dibuktikan oleh penyelidik-penyelidik bidang psikologi dan pendidikan awal kanak-kanak boleh berkekalan sehingga dewasa. Oleh itu, jika ibu bapa inginkan anak-anak mereka mempunyai personaliti yang baik dan mulia, positif dalam perhubungan dan pengurusan diri, berdaya maju, bijak berkomunikasi serta pandai menyesuaikan diri dalam apa sahaja keadaan, maka berikanlah kepada mereka pendidikan dan pengalaman awal yang berkualiti.
Tarikh Kemaskini : 07/02/2017