Majlis Bersama Jabatan

  • Perlembagaan Majlis Bersama Jabatan
    PERLEMBAGAAN
    MAJLIS BERSAMA JABATAN
    JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

     
    Keahlian
    Majlis Bersama Jabatan bagi Jabatan Kebajikan Masyarakat (selepas ini disebut sebagai “Majlis”) hendaklah mengandungi empat puluh dua (42) orang ahli secara keseluruhannya termasuk Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha-setiausaha yang terdiri Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat selaku Pengerusi dan sembilan belas (19) orang ahli yang dilantik oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (selepas ini disebut sebagai “Pihak Pegawai”) dan dua puluh dua (22) orang ahli yang dipilih oleh yang berkhidmat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (selepas ini disebut sebagai “Pihak Pekerja”).

    Pihak Pegawai
    Ahli-ahli bagi Pihak Pegawai hendaklah terdiri daripada Pegawai-pegawai Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia seperti berikut :
    • PENGERUSI
      Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat
    • AHLI-AHLI
      Timbalan Ketua Pengarah (Strategik)
      Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
      Pengarah Bahagian-Bahagian Ibu Pejabat JKM
      Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kewangan dan Pentadbiran
      Ketua Penolong Pengarah Cawangan Latihan dan Kompetensi
      Ketua Penolong Pengarah Cawangan Perolehan dan Aset

    • SETIAUSAHA
      Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan Sumber Manusia

    Ahli-ahli bagi Pihak Pegawai ini hendaklah dilantik atas nama jawatan masing-masing dan tiada had tempoh memegang jawatan di dalam Majlis.

    Pihak Pekerja
    Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah terdiri daripada pekerja-pekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat, Gred 12 dan ke bawah, tidak terlibat dalam membuat keputusan, bukan merupakan Ketua Bahagian/Unit dan dan dipilih oleh pekerja-pekerja sendiri. Peraturan bagi pemilihan ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah mengikut peraturan-peraturan yang akan disediakan buat permulaan oleh satu Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh pekerja-pekerja dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat dan diluluskan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat. 

    Pemilihan Pengerusi dan Setiausaha Pihak Pekerja adalah dibuat dari kalangan ahli-ahli Pihak Pekerja yang dipilih dan pemilihan itu hendaklah dibuat oleh Pihak Pekerja sendiri tanpa campur tangan dari Pihak Pengurusan. Pengerusi Pihak Pekerja akan menjadi Naib Pengerusi kepada MBJ manakala Setiausaha Pihak Pekerja akan menjadi Setiausaha Bersama.

    Kekosongan yang berlaku di dalam keanggotaan Pihak Pekerja hendaklah dipenuhi oleh calon-calon daripada Skim Perkhidmatan / Gred yang memilih wakil pekerja-pekerja itu sendiri.

    Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua (2) tahun mulai daripada tarikh pelantikan mereka dan mereka boleh terus memegang jawatan tersebut sehingga ahli-ahli yang akan mengambil alih telah dilantik / dipilih.

    Pegawai - Pegawai Majlis
    Pegawai-pegawai Majlis adalah terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha Bersama. Naib Pengerusi hendaklah terdiri daripada ahli yang dipilih dan menjadi Pengerusi ahli Pihak Pekerja. Setiausaha Pihak Pegawai dan Setiausaha Pihak Pekerja menjadi Setiausaha Bersama bagi Majlis.

    Tujuan
    Tujuan Majlis adalah untuk memperolehi seluas-luas kerjasama yang menyeluruh di antara Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan pegawai-pegawai yang bergaji di Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja-pekerja berkenaan serta untuk mengadakan jentera bagi menguruskan soal-soal mengenai syarat-syarat bekerja dan amnya untuk mengumpul berbagai buah fikiran daripada pekerja-pekerja dengan wakil-wakil rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat.

    Bidang dan Fungsi
    Bidang dan fungsi Majlis hendaklah tertumpu hanya kepada perkara-perkara yang termasuk di dalam bidang kuasa Majlis seperti berikut:
    • membincang dan memutuskan akan perkara-perkara mengenai syarat-syarat bekerja yang ada berkaitan dengan pentadbiran yang berkenaan kecuali perkara-perkara yang melibatkan dasar Kerajaan dan hal-hal perseorangan.
    • membolehkan kakitangan mengambil bahagian dan lebih bertanggungjawab di atas perkara-perkara mengenai kerja-kerja mereka dan mematuhi syarat-syarat bawah mana tugas-tugas mereka dijalankan.
    • menggalakkan kakitangan menerusi pengambilan bahagian dalam perbincangan-perbincangan untuk mendapatkan pengetahuan yang lebih lagi mengenai pentadbiran pelbagai Jabatan.
    • mengadakan kemudahan bagi memperbaiki perjalanan dan organisasi Jabatan Kebajikan Masyarakat serta peruntukan bagi menerima cadangan dan syor-syor dari kakitangan mengenai perkara ini.

    Mesyuarat – mesyuarat
    1. Mesyuarat-mesyuarat biasa bagi Majlis hendaklah diadakan tiga (3) kali setahun, iaitu sekali dalam tempoh empat (4) bulan.
    2. Kuorum bagi mesyuarat Majlis hendaklah tidak kurang daripada 50% iaitu sepuluh (10) orang ahli Pihak Pegawai dan 50% iaitu sebelas (11) orang ahli Pihak Pekerja.
    3. Agenda bagi Mesyuarat-mesyuarat Majlis hendaklah disediakan oleh Setiausaha Bersama dan dihantar oleh setiausaha-setiausaha tersebut kepada pihak masing-masing tidak kurang daripada tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat. Perkara-perkara yang tidak termasuk di dalam agenda hanya boleh dibincangkan dengan kebenaran Pengerusi dan Naib Pengerusi.
    4. Mesyuarat khas Majlis boleh diadakan dengan permintaan Pengerusi atau Naib Pengerusi apabila dikehendaki. Tarikh mesyuarat tersebut hendaklah dipersetujui oleh Pegawai-pegawai Majlis. Perkara-perkara yang akan dibincangkan di mesyuarat tersebut hendaklah terhad kepada perkara-perkara yang dinyatakan dalam notis panggilan mesyuarat berkenaan.
    5. Sekiranya Pengerusi tidak dapat mempengerusikan mana-mana mesyuarat Majlis, maka ahli Pihak Pegawai terkanan boleh mempengerusikan mesyuarat Majlis dengan kebenaran daripada Pengerusi. Dalam apa keadaan sekalipun, Naib Pengerusi iaitu Penegrusi Pihak Pekerja tidak boleh mempengerusikan mana-mana mesyuarat Majlis.
    6. Minit Mesyuarat MBJ hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Pihak Pegawai dan Setiausaha Pihak Pekerja.

    Keputusan
    1. Segala keputusan Majlis hendaklah dicapai secara persetujuan bersama di antara Pihak Pegawai dengan Pihak Pekerja.
    2. Keputusan yang diambil jika tidak ada hubungan dengan jabatan-jabatan lain dan tidak pula bertelingkah dengan dasar Kerajaan bolehlah diselenggarakan atau dilaksanakan terus oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Bagi keputusan yang ada kaitan dengan dasar Kerajaan ataupun dengan jabatan-jabatan lain, ianya hendaklah dirujukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam ataupun jabatan-jabatan yang berkenaan.

    Pindaan kepada Perlembagaan
    Perlembagaan Majlis boleh dipinda di mana-mana mesyuarat Majlis dengan persetujuan tidak kurang daripada 50% ahli Pihak Pegawai dan 50% ahli Pihak Pekerja. Notis mengenai pindaan hendaklah diberi dan diedarkan kepada ahli-ahli Majlis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat. Segala pindaan perlembagaan yang telah diluluskan oleh Majlis hendaklah dikemukakan ke Jabatan Perkhidmatan Awam untuk kelulusan.

    Tarikh Kemaskini :07/08/2025

  • Klik untuk muat turun borang



    Tarikh Kemaskini :28/05/2020