Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat

PENGURUSAN KES KERJA SOSIAL DALAM PERINTAH KHIDMAT MASYARAKAT

Dalam pengurusan kes dan pengendalian Pelatih Perintah Khidmat Masyarakat (PKM), kaedah pengurusan kes kerja sosial dipraktiskan sepertimana berikut:

1. Penerimaan/Saringan

Pegawai PKM menerima perintah mahkamah dan membuat semakan butiran dalam perintah bagi memastikan butiran mengikut kehendak akta.

2. Penentuan Situasi

Pegawai PKM menjalankan proses pengumpulan maklumat melalui temu bual bersama pelatih, keluarga/penjaga serta melalui Laporan Penaksiran Ujian Psikologi yang disediakan oleh Pegawai Psikologi. Proses ini juga melibatkan penentuan situasi berisiko, penentuan keperluan, kesediaan dan kesesuaian Pelatih PKM dan matlamat pelaksanaan PKM yang hendak dicapai.

3. Perancangan dan Intervensi

Pegawai PKM dengan kerjasama pelatih merancang jadual pelaksanaan aktiviti/program bagi memenuhi elemen hukuman, pemulihan dan penginsafan yang ditetapkan dalam pelaksanaan PKM. Penetapan pelaksanaan PKM juga turut mengambil kira kemahiran dan minat pelatih PKM. Semasa pelaksanaan PKM, teknik penyeliaan kerja sosial turut dipraktikkan oleh Penyelia Lapangan bersama Pelatih PKM. Sebelum pelaksanaan PKM bermula Penyelia Lapangan akan melaksanakan sesi penerangan (briefing) tentang aktiviti yang akan dijalankan. Semasa sesi rehat (recess) pelaksanaan PKM berlangsung Penyelia Lapangan menggunakan pelbagai teknik penyeliaan kerja sosial bersama pelatih seperti teknik penyeliaan menggunakan kaedah penyelesaian masalah atau kaedah S.W.OT. Kemudian setelah selesai pelaksanaan PKM, Penyelia Lapangan perlu melaksanakan satu sesi rumusan (debriefing) berkenaan keseluruhan aktiviti PKM beserta ulasan ringkas prestasi pelatih.

4. Pemantauan dan Penilaian

Penyediaan Laporan Kemajuan Pelatih oleh Pegawai PKM melalui Laporan Kemajuan Pelatih setelah 50% pelaksanaan yang juga berdasarkan Laporan Penyeliaan harian yang disediakan oleh Penyelia Lapangan. Penilaian akhir juga dibuat oleh Penyelia Lapangan melalui Laporan Penilaian Pelaksanaan PKM di akhir pelaksanaan PKM. Penyelaras PKM Negeri bertanggungjawab mencadangkan intervensi kerja sosial bersesuaian kepada Pegawai PKM bagi pelatih yang bekeperluan.

5. Penamatan

Di peringkat pra penamatan pelatih melalui program pemulihan yang menitikberatkan pengintegrasian semula dalam masyarakat seperti program bersama komuniti, kemahiran dan kerjaya. Penyediaan Laporan Penamatan oleh Pegawai PKM di peringkat penamatan hasil dari maklum balas pelatih yang diperolehi melalui Borang Penilaian Pelaksanaan PKM dalam Laporan Penilaian Pelaksanaan PKM dan Laporan Penaksiran Ujian Psikologi yang disediakan oleh Pegawai Psikologi.