• AKTA TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK 1984 [AKTA 308]
     
    Tujuan penggubalan adalah untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas TASKA dan bagi perkara yang berkaitan dengannya demi menentukan kesejahteraan, keselamatan dan perkembangan menyeluruh kanak-kanak diutamakan.
     
    Seksyen 4 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak [Akta 308] memperuntukkan setiap taman asuhan kanak-kanak (TASKA) hendaklah didaftarkan. Untuk tujuan itu, permohonan pendaftaran TASKA hendaklah dibuat mengikut kehendak di bawah Akta 308 dan dengan cara yang ditentukan dalam Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.
     
    DEFINISI TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK
     
    Di bawah Seksyen 2, Akta 308 “taman asuhan kanak-kanak” ertinya mana-mana premis yang menerima masuk empat (4) orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat (4) tahun dari lebih daripada satu isi rumah untuk dijaga dengan upah.
     
    DEFINISI TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK BERDAFTAR
     
    “Taman asuhan kanak-kanak berdaftar” ertinya suatu taman asuhan kanak-kanak yang didaftarkan di bawah seksyen 7.
     
    Di bawah Seksyen 6 (1) tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengambil bahagian dalam pengurusan suatu taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan dibawah peruntukan–peruntukan Akta ini.
     
    Di bawah Seksyen 6 (2) Akta 308 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan
     
    KATEGORI TASKA
     
    Seksyen 5 Akta 308 memperuntukkan 4 kategori TASKA seperti berikut :
     
    1. TASKA Institusi
      • Menerima 10 orang atau lebih kanak-kanak dalam jagaan
      • Ditubuhkan atas inisiatif pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)
     
    1. TASKA Di Tempat Kerja
      • Menerima  10 orang kanak-kanak atau lebih dalam  jagaan
      • Ditubuhkan atas inisiatif majikan untuk kebajikan pekerja
     
    1. TASKA Komuniti
      • Menerima  10 orang kanak-kanak atau lebih dalam jagaan
      • Menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri
      • Ditubuhkan atas inisiatif komuniti untuk manfaat kepada keluarga yang berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar
     
    1. TASKA Di Rumah
      • Menerima 4 hingga 9 orang kanak-kanak dalam jagaan
      • Dijalankan di kediaman sendiri

    Tarikh Kemaskini :03/09/2021