• PENGENALAN
    Kanak-kanak merupakan modal insan penting kepada negara. Modal insan ini dapat dibangunkan kepada tahap optimum melalui penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif. Sehubungan itu, perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi adalah satu aspek penting dan hendaklah diberi keutamaan.

    Justeru, dasar perlindungan kanak-kanak amat perlu pada masa ini bagi menggalakkan setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama. Dasar ini adalah selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

    DEFINISI
    Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

    Perlindungan kanak-kanak merujuk kepada strategi dan aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

    Pengabaian merujuk kepada kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.

    Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.

    Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu.

    Penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.

    Penderaan seksual menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.

    Keganasan merujuk kepada sesuatu tindakan dengan niat untuk menyebabkan sebarang bentuk kecederaan dari segi fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak.

    Eksploitasi merujuk kepada penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.

    PERNYATAAN DASAR
    Dasar Perlindungan Kanak-Kanak ini merupakan satu dasar yang mengandungi pernyataan mengenai prinsip perlindungan kanak-kanak selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001. Dasar ini memberi tumpuan kepada aspek advokasi, pencegahan, khidmat sokongan dan penyelidikan dan pembangunan bagi melindungi kanak-kanak.

    PERNYATAAN MATLAMAT
    Secara khususnya, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Dasar ini juga menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak, termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak.

    OBJEKTIF
    Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara menetapkan 7 objektif utama seperti berikut:
    1. meningkatkan kesedaran dan komitmen pelbagai pihak terhadap usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama;
    2. mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak;
    3. menggalakkan organisasi yang berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan kanak-kanak mewujudkan dasar perlindungan kanak-kanak organisasi masing-masing;
    4. melindungi setiap kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi;
    5. menetapkan hanya individu yang bersesuaian sahaja boleh berurusan secara langsung dengan kanak-kanak;
    6. meningkatkan khidmat sokongan bagi menangani pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak; dan
    7. meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi menambah baik perlindungan terhadap kanak-kanak.

    STRATEGI
    Bagi mencapai objektif-objektif di atas, 11 strategi dirangka berasaskan 4 aspek utama iaitu advokasi, pencegahan, khidmat sokongan dan penyelidikan dan pembangunan. Strategi-strategi tersebut adalah seperti berikut:
    Advokasi
    1. Menerap dan memupuk kesedaran tentang pentingnya tanggungjawab melindungi kanak-kanak kepada semua lapisan masyarakat termasuk mewujudkan perkongsian pintar (smart partnership) dengan pihak media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sektor swasta dan organisasi masyarakat.
    2. Memastikan mereka yang berurusan secara langsung dengan kanak-kanak berupaya mengenal pasti dan seterusnya melaporkan kes-kes pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.
    3. Memastikan kanak-kanak dan anggota masyarakat termasuk pengamal undang-undang, penuntut jurusan undang-undang, pendidik, pekerja sosial, doktor, anggota penguat kuasa (seperti pegawai polis dan imigresen), pemandu pengangkutan awam (seperti bas dan teksi) dan pengawal keselamatan diberi kefahaman mengenai hak kanak-kanak di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dengan fokus kepada aspek perlindungan.
    4. Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.
    5. Menggalakkan setiap organisasi mewujudkan dasar dan peraturan mengenai perlindungan kanak-kanak.
    Pencegahan
    1. Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa.
    2. Menyediakan pengetahuan asas kepada kanak-kanak untuk membolehkan mereka melindungi diri daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi serta mengenal pasti keadaan yang berisiko kepada mereka.
    3. Mewujudkan sistem saringan, pengiktirafan dan latihan bagi mereka yang bekerja secara langsung dengan kanak-kanak.
    Khidmat Sokongan
    1. Memperluas dan meningkatkan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa, keluarga, pesalah dewasa, pesalah kanak-kanak dan komuniti setempat.
    2. Meningkat dan memperluaskan perkhidmatan perlindungan dan kesihatan kepada mangsa dan keluarga.
    Penyelidikan dan Pembangunan
    1. Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan mengenai perlindungan kanak-kanak serta menyebar luas hasil penyelidikan untuk tindakan penambahbaikan.


    Tarikh Kemaskini :02/08/2016

  • PENGENALAN
    Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting, yang menjadi aset negara dan penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan. Pada tahun 2008, terdapat seramai 10.5 juta (37.9%) orang kanak-kanak daripada 27.7 juta penduduk Malaysia. Dengan itu, pihak Kerajaan amat prihatin kepada kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak.

    Sehubungan ini, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) pada 17 Februari 1995. Konvensyen ini memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang menjurus kepada aspek kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation). Sebagai sebuah Negara Pihak (State Party) kepada CRC, Malaysia amat prihatin dan komited terhadap tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang merupakan generasi pewaris negara masa hadapan.

    Kepentingan golongan kanak-kanak jelas dibuktikan dalam pernyataan Wawasan 2020 di mana institusi keluarga dan kanak-kanak merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan dalam usaha negara mencapai status negara maju di samping melahirkan masyarakat yang saksama dan penyayang.

    DEFINISI
    Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001.

    PENYATAAN DASAR
    Dasar Kanak-Kanak Negara adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.

    PENYATAAN MATLAMAT
    Dasar Kanak-Kanak Negara bertujuan untuk melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni.

    OBJEKTIF
    Objektif utama Dasar Kanak-Kanak Negara ialah untuk memastikan:
    1. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberi jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial;
    2. Setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi; dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi dan diintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat;
    3. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk perkembangan holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, sahsiah dan kerohanian;
    4. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara, menyertai (turut serta) dan melibatkan diri mengikut tahap keupayaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan terbaik dan kesejahteraan mereka;
    5. Kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, komuniti dan masyarakat sedar akan hak kanak-kanak untuk kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan; dan
    6. Penyelidikan dan pembangunan mengenai kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dilaksanakan dari semasa ke semasa.
    STRATEGI
    Strategi-strategi bagi mencapai objektif di atas adalah seperti berikut:

    Objektif 1(keterangan lanjut dalam format PDF)
    Kelangsungan Hidup
    1. Menyediakan keperluan asas seperti identiti, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, kasih sayang, keselamatan dan persekitaran yang kondusif dan mesra kanak-kanak.
    2. Meningkatkan kerjasama antara agensi Kerajaan, NGO, pihak swasta dan masyarakat setempat dalam penjagaan kesihatan, keselamatan dan pendidikan bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak.
    3. Meningkatkan kualiti dan memperluaskan perkhidmatan sokongan dan bantuan sosial mengikut keperluan kanak-kanak termasuk kanak-kanak OKU dan anak yatim.
    4. Memperluaskan akses kepada maklumat dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak mendapat pengetahuan dan kemahiran demi kelangsungan hidup mereka.
    5. Memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan keselamatan sosial.

    Objektif 2 (keterangan lanjut dalam format PDF)
    Perlindungan
    1. Meningkatkan latihan kepada semua pihak yang berurusan dengan kanak-kanak supaya mempunyai pengetahuan, kelayakan dan kemahiran yang mencukupi serta bersikap positif dalam pengendalian kes penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.
    2. Memberi perkhidmatan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa penyeksaan, pengabaian, penganiayaan, keganasan, pengeksploitasian atau kanak-kanak tidak terkawal serta penyediaan rawatan pemulihan kepada pesalah kanak-kanak (child offender).
    3. Memberi perlindungan ke atas mangsa, pengadu dan keluarga daripada gangguan atau ancaman pihak-pihak tertentu.
    4. Memastikan kanak-kanak diberi hak kepada perundangan dan perkhidmatan sokongan.
    5. Memberi sokongan kepada keluarga yang berisiko tinggi supaya kanak-kanak dalam keluarga tersebut dapat menikmati hak-hak mereka.
    6. Memastikan semua pihak yang mempunyai hubungan atau memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak mewujudkan dasar dan protokol perlindungan kanak-kanak dan melaksanakannya.
    7. Menyediakan program khusus bagi kanak-kanak jalanan, kanak-kanak tanpa dokumen, kanak-kanak tercicir, kanak-kanak terlibat dengan penagihan dadah dan kanak-kanak yang berada dalam situasi genting, kepayahan dan lain-lain bahaya (under difficult circumstances).
    8. Memastikan kanak-kanak mangsa bencana menerima rawatan yang sewajarnya bagi pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat.
    9. Memastikan kanak-kanak mangsa eksploitasi seksual (seperti pelacuran kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak) dan pemerdagangan orang diberi perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat atau dihantar pulang ke negara asal.
    10. Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa.
    11. Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.

    Objektif 3 (keterangan lanjut dalam format PDF)
    Perkembangan
    1. Meningkatkan perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak yang berkualiti, mudah diperolehi dan mampu dibiayai dalam persekitaran yang kondusif bagi merangsang perkembangan optimum kanak-kanak.
    2. Menyediakan kemudahan prasarana dan persekitaran mesra kanak-kanak.
    3. Memberi perlindungan ke atas mangsa, pengadu dan keluarga daripada gangguan atau ancaman pihak-pihak tertentu.
    4. Menyediakan bantuan, latihan dan pemantauan yang berterusan bagi memastikan kanak-kanak mendapat pengasuhan, penjagaan dan pendidikan yang bermutu tinggi.

    Objektif 4 (keterangan lanjut dalam format PDF)
    Penyertaan
    1. Memastikan kanak-kanak diberi akses kepada maklumat yang berkualiti dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak dapat menyertai aktiviti yang berkaitan dengan hal ehwal mereka.
    2. Menggalakkan media massa dan pihak swasta untuk menyebarkan maklumat yang bersesuaian dan berkualiti.
    3. Menggalakkan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan pandangan secara bertanggungjawab dan beretika sebagai input dalam merangka program untuk mereka atau program yang berkaitan dengan kepentingan mereka.

    Objektif 5 (keterangan lanjut dalam format PDF)
    Advokasi
    1. Meningkatkan kesedaran di kalangan keluarga dan masyarakat akan pentingnya penjagaan kesihatan kepada kanak-kanak.
    2. Meningkatkan kesedaran di kalangan keluarga dan masyarakat mengenai hak kesamarataan kanak-kanak daripada sebarang bentuk diskriminasi.
    3. Memantapkan program sedia ada dan memperkenalkan program yang sesuai bagi mencegah penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.
    4. Meningkatkan kesedaran ibu bapa, penjaga dan ahli masyarakat akan pentingnya pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak.
    5. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai hak, kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak kepada semua pihak yang berkenaan.

    Objektif 6 (keterangan lanjut dalam format PDF)
    Penyelidikan dan Pembangunan
    1.  Memperbanyakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pembangunan kanak-kanak dan menyebarluaskan hasil-hasil penyelidikan bagi tujuan penambahbaikan.


    Tarikh Kemaskini :02/08/2016

  • Pengenalan
    Golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Pendekatan berasaskan hak atau rights-based dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU.

    Definisi
    OKU adalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.

    Pernyataan Dasar
    Dasar OKU menjadi asas kesaksamaan hak dan peluang kepada OKU bagi penyertaan penuh dalam masyarakat. Dasar ini turut mengutamakan nilai hak kemanusian seperti kemuliaan, kehormatan dan kebebasan bagi membolehkan mereka hidup berdikari.

    Objektif Dasar
    Dasar OKU menetapkan empat objektif berikut:
    1. Memberi pengiktirafan serta penerimaan prinsip bahawa OKU mempunyai hak dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.
    2. Memastikan OKU menikmati hak, peluang dan akses secara saksama di bawah undang-undang negara.
    3. Menghapuskan diskriminasi terhadap seseorang atas sebab ketidakupayaannya dan.
    4. Mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak OKU.
    Strategi
    Strategi di bawah Dasar OKU terbahagi kepada 15 bidang seperti berikut:
    1. Advokasi
      • Meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap positif di kalangan masyarakat terhadap OKU menerusi program yang berkesan.
    2. Aksesibiliti
      • Memastikan penyediaan persekitaran bebas halangan (barrier-free) termasuk kemudahan di dalam dan luar bangunan, tempat kerja, kawasan perumahan serta ruang awam.
      • Meningkatkan penyediaan kemudahan pengangkutan awam yang mesra OKU dan
      • Menggalakkan penyediaan kemudahan serta akses kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
    3. Kesihatan
      • Meningkatkan perkhidmatan kesihatan termasuk program pencegahan, pengesanan dan intervensi awal (primary care) dan
      • Meningkatkan perkhidmatan perubatan yang berkualiti kepada OKU (secondary and tertiary care)
    4. Pemulihan
      • Meningkatkan keberkesanan serta memperluaskan program pemulihan sedia ada bagi OKU.
      • Mewujudkan program pemulihan baru bagi OKU selaras dengan perkembangan semasa.
    5. Pendidikan
      • Meningkatkan akses OKU kepada pendidikan di semua peringkat, termasuk pendidikan sepanjang hayat.
    6. Pekerjaan
      • Membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menggalakkan penggajian OKU dalam semua sektor pekerjaan.
      • Menggalakkan OKU bekerja sendiri (self-employed) dan berdikari.
    7. Keselamatan Diri dan Perlindungan Sosial
      • Melindungi OKU dari segala bentuk eksploitasi, keganasan dan penderaan.
      • Memantapkan perkhidmatan dan kemudahan kepada OKU yang layak dan berkeperluan.
    8. Perkhidmatan Sokongan
      • Memantapkan mekanisme perkhidmatan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan OKU.
      • Menggalakkan penghasilan dan penjualan alat-alat tiruan dan sokongan OKU yang mampu milik.
    9. Sosial
      • Meningkatkan kemudahan dan menggalakkan penyertaan OKU dalam aktiviti sosial.
    10. Pembangunan Sumber Manusia
      • Membangunkan kapasiti dan menyediakan sumber manusia terlatih serta mencukupi yang memberi perkhidmatan kepada OKU.
      • Membangunkan keupayaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kepentingan OKU.
      • Meningkatkan penyertaan OKU dalam proses perancangan dan membuat keputusan.
    11. Penglibatan Masyarakat
      • Menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam program pembangunan OKU.
      • Menjalin dan memperkukuhkan rangkaian kerjasama multisektor dan multidisiplin.
      • Menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat.
    12. Penyelidikan dan Pembangunan
      • Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan mengenai OKU serta menyebar luas hasil penyelidikan untuk tindakan penambahbaikan.
      • Memantapkan mekanisme penyelarasan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program-program OKU.
    13. Perumahan
      • Menggalakkan reka bentuk universal dalam pembinaan rumah dan kawasan persekitaran.
      • Membuka peluang kepada OKU untuk memiliki rumah.
    14. Kanak-kanak OKU
      • Mengutamakan kepentingan terbaik (best interest) untuk kanak-kanak kurang upaya dalam setiap program perkembangan, kemajuan dan pemerkasaan golongan OKU.
    15. Wanita OKU
      • Mengutamakan kepentingan terbaik (best interest) untuk wanita kurang upaya dalam setiap program perkembangan, kemajuan dan pemerkasaan golongan OKU.
    Penutup
    Pihak Kerajaan amat prihatin terhadap golongan OKU dan penggubalan Dasar ini merupakan komitmen Kerajaan dalam usaha memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, pelaksanaan Dasar OKU memerlukan kerjasama yang bersepadu daripada semua pihak serta penglibatan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan serta pertubuhan bukan Kerajaan, ahli akademik, pakar perubatan, pekerja sosial, sukarelawan dan orang ramai.
    Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
    Kuala Lumpur.

    Tarikh Kemaskini :02/08/2016

  • Pendahuluan
    Dasar payung yang merangkumi falsafah dan berbagai dasar pembangunan sosial negara berteraskan Perlembagaan, Rukunegara, Wawasan 2020 dan komitmen negara di peringkat antarabangsa.

    Dasar Sosial Negara (DSN) adalah satu dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap.

    Pernyataan Dasar
    DSN ialah dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju serta mantap.

    Penyataan Matlamat
    Mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang maju dan mantap dengan setiap anggota masyarakat berpeluang untuk memperkembangkan potensi diri secara optimum di dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri-ciri bersatu padu, berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi, progresif, penyayang, adil dan saksama selaras dengan matlamat wawasan 2020.

    Latar Belakang
    1990an - Perbincangan isu-isu sosial dan keperluan satu dasar sosial negara
    1996 - Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Membanteras Masalah Sosial (JKMMS)
    1998
    • JPPN membincangkan perlunya ada DSN
    • UPE minta KPNPM menggubal DSN
    1999
    • KPNPM menganjurkan bengkel DSN
    • Pelantikan Pakarunding PINTAS
    2002
    • Pakarunding PINTAS menghasilkan deraf DSN
    • Pasukan Petugas Khas di KPNPM
    • DSN, jentera pelaksanaan dan pendekatan dibentangkankepada JKMMS
    2003
    • DSN diluluskan oleh Jemaah Menteri (19 Februari)
    • DSN dilancarkan secara rasmi (19 Ogos)

    OBJEKTIF DSN

    Objektif Umum
    Menjamin setiap individu, keluarga dan masyarakat tanpa mengira kumpulan etnik, agama, budaya, gender dan fahaman politik serta wilayah dapat menyertai dan memberi sumbangan kepada arus pembangunan negara serta menikmati kesejahteraan hidup secara berterusan

    Objektif Khusus
    • Memastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi
    • Membangun dan memperkasakan insan sepanjang hayat
    • Memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial
    • Menjana sinergi multisektor

    Objektif 1
    MEMASTIKAN KEPERLUAN ASAS INDIVIDU, KELUARGA DAN MASYARAKAT DIPENUHI
    Merangkumi:-
    • Keperluan asas secukupnya
    • Persekitaran fizikal yang sihat, bersih, selamat dan mesra insan
    • Persekitaran sosial mengutamakan nilai-nilai murni
    • Peluang untuk meningkatkan kualiti hidup
    • Kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat serta hak sebagai warganegara
    • Keperluan hidup lain yang sesuai dengan perkembangan semasa

    Objektif 2
    MEMBANGUN DAN MEMPERKASAKAN INSAN SEPANJANG HAYAT
    Tanpa membezakan gender, keturunan dan keupayaan fizikal untuk mengguna dan mempertingkatkan sumber serta kebolehan kendiri secara optimum pada setiap peringkat kitaran hidup

    Objektif 3
    MEMPERKUKUH DAN MEMBANGUNKAN SISTEM SOKONGAN SOSIAL DAN PERKHIDMATAN SOSIAL
    Memperkukuh dan menambahkan:
    • Sistem sokongan sosial seperti sistem keluarga, etnik, agama, organisasi sosial dan lain-lain di peringkat komuniti
    • Sistem penyampaian perkhidmatan sosial di semua sektor yang terlibat dengan perkhidmatan sosial

    Objektif 4
    MENJANA SINERGI MULTISEKTOR
    Kerjasama antara pelbagai bidang dalam dan di antara sektor awam, swasta dan sukarela perlu dipertingkatkan supaya wujud satu sinergi tenaga dan sumber di dalam masyarakat untuk menjamin perkhidmatan sosial yang terbaik untuk semua anggota masyarakat, berasaskan konsep bahawa pembangunan sosial adalah tanggungjawab bersama.

    Tarikh Kemaskini :02/08/2016

  • Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited untuk terus memberi perhatian kepada aspek kebajikan dan keperluan golongan warga emas. Langkah ini penting bagi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan golongan tersebut termasuk persediaan dan perancangan bagi menghadapi peningkatan bilangan warga emas di Negara ini. Berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk Negara.

    Justeru, selaras dengan keperluan semasa dan akan datang, Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) telah diluluskan oleh kerajaan pada 5 Januari 2011. DWEN dan PTWEN merupakan komitmen kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan Negara.

    Matlamat Dasar Warga Emas Negara adalah mendayaupayakan individu, keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap dan berkesan serta membangunkan persekitaran yang membantu warga emas hidup sejahtera.

    Pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara Dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara perlu menjadi agenda tetap dalam Mesyuarat Majlis Penasihat Dan Perundingan Warga Emas Negara.

    Keanggotaan dalam Majlis Penasihat Dan Perundingan Warga Emas Negara terdiri daripada wakil kementerian berkaitan, pihak swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan serta pakar dalam bidang berkaitan dengan warga emas. Majlis dipengerusikan oleh YB. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Majlis ini akan menerima laporan daripada Jawatankuasa Teknikal dan juga bertanggungjawab mendapatkan peruntukan untuk melaksanakan Pelan Tindakan Warga Emas Negara. Urus setia kepada Majlis ini adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

    Sambutan Hari Warga Emas

    Takrifan ‘warga emas’ adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling. Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa. Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan diadakan pada 1hb Oktober pada tiap-tiap tahun sesuai dengan pengistiharan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Resolusi No. 45 / 106 yang telah menetapkan 1 Oktober sebagai Hari Warga Emas Antarabangsa. Kerajaan Malaysia juga telah mengistiharkan 1 Oktober setiap tahun mulai 1992. Pada tarikh ini , Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan diadakan. Ia merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban.

     

    Tarikh Kemaskini :20/06/2017