• Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menubuhkan Majlis Kebangsaan bagi Kanak-Kanak sepertimana termaktub dalam Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 [Akta 1511] di bawah seksyen 3

    Tarikh Kemaskini :25/03/2021

  •  1. Peranan dan fungsi majlis
         Fungsi Majlis adalah seperti yang termaktub di bawah subseksyen 3(2), Akta 611 seperti berikut:
    1. untuk menasihati dan membuat syor kepada  kerajaan mengenai semua isu dan aspek yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan, pemulihan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa;
    2. untuk membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat dan untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat, termasuk di peringkat keluarga, mengenai hak dan maruah seseorang kanak-kanak;
    3. untuk membangunkan program yang bertujuan untuk mendidik masyarakat dalam usaha mencegah penderaan dan pengabaian kanak-kanak serta mencegah penglibatan kanak-kanak dalam perbuatan tidak bermoral atau jenayah;
    4. untuk memastikan bahawa standard perkhidmatan yang disediakan oleh agensi dan jabatan kerajaan, badan atau organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta bagi pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak memenuhi keperluan kanak-kanak;
    5. untuk menyelaraskan pelbagai sumber daripada semua pihak, termasuk agensi dan jabatan kerajaan, badan atau organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta, yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan bagi pemeliharaan, pelindungan, pemulihan dan perkembangan kanak-kanak;
    6.    untuk menyelaraskan dan memantau pelaksanaan dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan kanak-kanak oleh agensi dan jabatan kerajaan, badan atau organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta;
    7. untuk mengumpul dan mengumpul semak data dan maklumat, dan menjalankan serta menggalakkan kajian yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan, pemulihan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak;
    8.   untuk mereka bentuk suatu sistem pengurusan yang cekap dan berkesan di seluruh Malaysia bagi kanak-kanak yang memerlukan pelindungan;
    9.    untuk menggalakkan penyertaan kanak-kanak dalam proses membuat keputusan mengenai perkara yang menyentuh isu kanak-kanak;
    10.    untuk memantau aktiviti dan pelaksanaan fungsi  Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak; dan
    11. untuk melakukan apa-apa perkara lain sebagaimana  yang difikirkannya patut untuk membolehkannya melaksanakan fungsinya secara berkesan atau yang bersampingan dengan pelaksanaan fungsinya.

     2. Keanggotaan Majlis
         2.1 
    Keanggotaan Majlis adalah seperti yang termaktub di bawah subseksyen 4(1), Akta 611 seperti berikut:
    1. Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggung   jawab bagi perkhidmatan kebajikan yang hendaklah menjadi Pengerusi;
    2. Ketua Setiausaha Perbendaharaan atau wakilnya;
    3. Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan yang hendaklah menjadi Timbalan Pengerusi;
    4. Peguam Negara atau wakilnya;
    5. Ketua Polis Negara atau wakilnya;
    6. Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi sumber manusia atau wakilnya;
    7. Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggung  jawab bagi hal ehwal dalam negeri atau wakilnya;
    8. Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi komunikasi atau wakilnya;
    9. Ketua Pengarah Kesihatan atau wakilnya;
    10. Ketua Pengarah Pendidikan atau wakilnya;
    11. Ketua Pengarah Pendaftaran Negara atau wakilnya;
    12. Komisioner Jeneral Penjara atau wakilnya;
    13. Ketua Pengarah Imigresen atau wakilnya;
    14. Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat yang hendaklah menjadi Setiausaha;
    15. dua orang wakil daripada jabatan yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;
    16. seorang wakil kementerian di Negeri Sabah, yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;
    17. seorang wakil kementerian di Negeri Sarawak, yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;
    18. dua orang wakil dalam kalangan kanak-kanak yang hendaklah dilantik oleh Menteri, atas syor Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat; dan
    19. tidak lebih daripada lima orang yang  mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang sesuai dalam perkara yang berhubungan dengan kebajikan dan perkembangan kanak-kanak termasuk mana-mana orang yang layak untuk memberikan nasihat mengenai faktor peribumi, etnik, kebudayaan atau agama yang berkaitan yang dilantik oleh Menteri.

         2.2 Seseorang anggota Majlis yang dilantik di bawah perenggan (1)(r) atau (s) hendaklah, melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatan atau mengosongkan jawatannya atau perlantikkannya terlebih dahulu dibatalkan, memegang jawatan selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan adalah layak dilantik semula bagi tempoh maksimum dua penggal berturut-turut.
     

    Tarikh Kemaskini :21/09/2021