PENGENALAN

Perkhidmatan bantuan kewangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat disediakan kepada kumpulan sasar yang memerlukan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.
Secara prinsipnya, di dalam melaksanakan pemberian bantuan kepada rakyat, Kerajaan Malaysia tidak sesekali mengamalkan konsep Negara Kebajikan (Welfare State). Skim bantuan yang diwujudkan adalah sebagai alat dalam proses menolong klien ke arah pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian, yang merupakan satu kaedah dalam kerja sosial. Proses pemberian bantuan kebajikan juga mengambil kira potensi yang ada pada setiap penerima bantuan yang masih produktif ke arah hidup berdikari.

OBJEKTIF PEMBERIAN BANTUAN
 
  • Memenuhi keperluan asas (basic needs) bagi meringankan beban penerima bantuan
  • Alat sokongan sosial (social support tools) untuk menilai kemampuan penerima bantuan ke arah berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan
  • Alat pemulihan (rehabilitation tools) agar penerima bantuan terus kekal tinggal bersama komuniti/masyarakat.
  • Sumber kewangan sementara penerima bantuan meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan hidup

KELAYAKAN  MEMOHON BANTUAN KEBAJIKAN

Semua permohonan yang dibuat perlu memenuhi kriteria dan kadar pemberian bantuan kebajikan berdasarkan kepada setiap jenis bantuan berikut:

1.Bantuan Kanak-Kanak (BKK);
2.Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU);
3.Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB);
4.Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT);
5.Bantuan Warga Emas (BWE);
6.Bantuan Am Persekutuan (BA);
7.Bantuan Anak Pelihara (BAP);
8.Bantuan Latihan Perantis (BLP);
9.Bantuan Geran Pelancaran (GP);
10.Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT);
11.Tabung Bantuan Segera (TBS).


Pelaksanaan bantuan kebajikan adalah selaras dengan Senarai Bersama (Concurrent List) antara Kerajaan persekutuan dengan Kerajaan Negeri, yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah senarai 3 - jadual kesembilan Senarai Perundangan.

CARA MEMOHON

Pengendalian permohonan bantuan kewangan dibuat di peringkat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian di seluruh negara. Setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.
Untuk memudahkan urusan pentadbiran, pemohon diminta membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian seperti salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan.

BORANG YANG BERKAITAN
 
  1. JKM 18 Borang Permohonan Bantuan 
  2. JKM 20 Borang Kaji Semula Bantuan
Tarikh Kemaskini : 15/12/2024