PROGRAM KERJASAMA STRATEGIK

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merupakan sebuah agensi barisan hadapan kerajaan yang memainkan peranan penting dalam membantu membangunkan masyarakat ke arah kesejahteraan, berdikari dan berbudaya penyayang sekaligus memastikan tiada golongan yang terpinggir.

Sebagai agensi yang sangat dekat dengan masyarakat, JKM sentiasa peka dan mengatur strategi yang mampu menangani cabaran era globalisasi yang kian mencabar. Sejajar dengan usaha tersebut, JKM menyedari akan kepentingan menggerakkan peranan masyarakat dalam usaha membantu mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan sosial, agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa, dihormati dan tidak disisihkan selaras dengan konsep masyarakat penyayang.
 
Tanggungjawab Sosial Korporat/Corporate Social Responsibility merupakan salah satu usaha kerjasama strategik antara JKM dengan rakan strategik Jabatan, iaitu agensi kerajaan, sektor korporat, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk membantu Jabatan dalam memelihara kebajikan kumpulan sasar selaras dengan konsep “Kebajikan Tanggungjawab Bersama”.
 
Melalui sinergi multi-sektoral ini, semua lapisan masyarakat memainkan peranan serta memikul tanggungjawab bersama-sama untuk memberi sokongan sosial kepada golongan yang memerlukan bagi menangani isu yang dihadapi, memperkasa komuniti dan seterusnya membela kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
 
 
TUJUAN
 
Program Kerjasama Strategik bertujuan menggalakkan semua lapisan masyarakat khususnya agensi kerajaan, sektor korporat, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu mempraktikkan perkongsian tanggungjawab sosial dengan mengutamakan kepentingan masyarakat dalam strategi organisasi mereka.
 
 
Objektif Program Kerjasama Strategik adalah seperti berikut:
Membudayakan konsep “Kebajikan Tanggungjawab Bersama” dalam kalangan sektor korporat atau swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu;
Menggalakkan sektor korporat atau swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu untuk terus melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan pembangunan sosial negara; dan
Menyemarakkan semangat kesukarelaan dalam kalangan masyarakat; dan memupuk budaya “Komuniti untuk Komuniti” melalui pemerkasaan masyarakat.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Komuniti, Cawangan Multi-Sektoral.
 
 
 
 
 
Tarikh Kemaskini : 27/04/2024