Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) ialah tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti. Ia merupakan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan (developmental) kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik antara KPWKM dengan agensi kerajaan yang lain serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
 
Konsep PAWE
Memberi kemudahan kepada warga emas untuk menjalankan aktiviti bersama komuniti dengan menekankan elemen Program Berteraskan Komuniti, Intergenerasi dan Interaktif.
 
Objektif Penubuhan PAWE:
  1. Mempelbagai dan memperluaskan kemudahan-kemudahan untuk kesejahteraan dan pembangunan warga emas.
  2. Menghargai warga emas melalui perkongsian pengalaman & kepakaran mereka.
  3. Menggalakkan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak dalam pembangunan warga emas; dan
  4. Meningkatkan kualiti hidup warga emas selari dengan konsep warga emas aktif dan produktif.
 
Punca Kuasa Penubuhan PAWE
Dasar Warga Tua Kebangsaan 1995 dan Pelan Tindakan Warga Tua Kebangsaan 1998
 
Peluasan Program PAWE
  • Penubuhan PAWE berdasarkan keperluan komuniti.
  • Keperluan Jawatankuasa Peneraju PAWE berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan.
  • Pengurusan PAWE mengikut Garis Panduan Pusat Aktiviti Warga Emas (Pindaan 2018)
 
Kriteria Penubuhan PAWE
  • Bilangan Warga Emas - Populasi warga emas dan jangkaan penyertaan warga emas di PAWE
  • Lokasi PAWE -  kawasan komuniti yang strategik serta mudah diakses oleh warga emas:
  • Pemilihan Premis - mesra warga emas dan sesuai dengan program dan aktiviti yang hendak dijalankan.
  • Komuniti Penggerak - Pertubuhan Bukan Kerajaan dalam komuniti setempat  yang mempunyai minat dan komitmen kepada pelaksanaan PAWE:
  • Nasihat/sokongan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri (PKMN)/ Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) - Mendapatkan pandangan dan nasihat daripada PKMN/ PKMD mengenai penubuhan PAWE baharu.
Kumpulan Sasar
  • Langsung: Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.
  • Tidak Langsung: Kanak-kanak, remaja, wanita, OKU, keluarga dan sebagainya.
 
Penyertaan PAWE
  • Warga Emas yang berminat menjadi ahli PAWE perlu mengisi borang pendaftaran ahli di Pusat Aktiviti Warga Emas yang berhampiran tempat tinggal.
  • Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada warga emas yang mengikuti aktiviti rutin di PAWE. Sumbangan mungkin diperlukan bagi program/ aktiviti tertentu yang dirancang.
 
Aktiviti / Program Di Pusat Aktiviti Warga Emas
  • Dimensi/ Program Kerohanian (Penuaan Positif): Pegangan kepercayaan dan nilai positif yang menjadi tunjang kehidupan dan jati diri warga emas.
    • Program Keagamaan dan kerohanian - ceramah agama, kelas mengaji, tahsin; dan
    • Program Pembelajaran Sepanjang Hayat - membaca, belajar untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran, celik IT, latihan vokasional yang bersesuaian.
  • Dimensi/ Program Kesihatan (Penuaan Sihat): Usaha ke arah gaya hidup sihat dan membentuk sistem kesihatan yang lebih baik.
    • Program Kesihatan - khidmat pemeriksaan kesihatan dengan bantuan pakar perubatan Hospital Kerajaan atau swasta, ceramah kesihatan dan promosi gaya hidup sihat; dan
    • Program Terapi Pemulihan - terapi muzik, penggunaan alat terapi, menanam sayur-sayuran atau herba.
  • Dimensi/ Program Sosial (Penuaan Aktif): Mengoptimumkan peluang dan penglibatan warga emas dalam keluarga dan masyarakat.
    • Program Rekreasi - kelas tarian, nyanyian, karaoke, bermain alat  muzik; dan
    • Program Sukan – Senaman Warga Emas, sukaneka, senaman, yoga, berjalan kaki, refleksologi dan lain-lain.
  • Dimensi/ Program Ekonomi (Penuaan Produktif): Penglibatan warga emas untuk menyumbang dalam bentuk aktiviti kerja bergaji atau sukarela yang dapat memberi makna dan kepuasan.
    • Program Pemerkasaan Ekonomi - seperti kelas latihan penghasilan produk seperti bunga telur, jahitan, kraftangan, makanan sejuk beku, pekerjaan dan lain-lain; dan
    • Program menyumbang kepakaran/ pengetahuan/ kemahiran  seperti mengajar Agama dan Bahasa Inggeris kepada warga emas, menjadi pembimbing warga emas dan sukarelawan warga emas.
  • Dimensi/ Program Persekitaran Penuaan Menyokong): Persekitaran dalaman dan luaran yang mesra warga emas bagi membolehkan warga emas berfungsi dengan baik.
    • Program kesukarelawan dan komuniti yang menyokong warga emas.

Garis Panduan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pindaan 2018
Senarai Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE)
Tarikh Kemaskini : 25/07/2024