PENGENALAN
 
Definisi Keusahawanan Sosial 
 
Dalam konteks jabatan, Keusahawanan Sosial ditakrifkan sebagai suatu kaedah penyelesaian isu sosial terhadap kumpulan sasar menerusi elemen ekonomi yang menggabungkan inovasi sosial dan kerja sosial.
 
Terdapat tiga (3) elemen utama bagi Cawangan Keusahawan iaitu:
  • Pembangunan Pelan Tindakan Keusahawanan Sosial JKM;
  • Pengoperasian Projek ProWell; dan
  • Pengoperasian Koperasi ProWell Berhad
1.0 Pembangunan Pelan Tindakan Keusahawanan Sosial JKM

Pelan Tindakan Keusahawanan Sosial JKM Tahun 2021-2025 ialah rujukan utama dan panduan kepada setiap bahagian dalam merancang strategi dan inisiatif berkaitan keusahawanan sosial secara sistematik dan bersepadu. Dokumen ini juga memusatkan segala komitmen dan fokus seluruh warga JKM bagi menjayakan visi dan misi organisasi untuk mentransformasikan jabatan ke arah pembudayaan keusahawanan sosial.
 
Pelan ini dirangka bagi mewujudkan mekanisme ke arah pembangunan sosioekonomi kumpulan sasar jabatan secara inovatif dan berdaya saing dengan menggunakan kaedah keusahawanan sosial.
 
Kerangka Pelan Tindakan Keusahawanan Sosial
Terdapat empat (4) teras strategik iaitu:
 
  • Membudayakan keusahawanan sosial ke arah masyarakat yang sejahtera;
  • Pemerkasaan kumpulan sasar dan pengukuhan program sokongan;
  • Meningkatkan sinergi dan kolaboratif strategik melalui keusahawanan sosial; dan
  • Penilaian dan pengiktirafan.
 
Setiap Teras Strategik disokong oleh Objektif dan Langkah Strategik, Inisiatif, Sasaran serta outcome yang akan dijadikan panduan oleh jabatan. Ia juga akan dijadikan sebagai panduan kepada bahagian bagi melaksanakan aktiviti dan program yang bukan sahaja memberi bantuan dan perkhidmatan kebajikan semata, tetapi juga menawarkan penyelesaian terhadap isu-isu sosial nasional.
 
2.0        Pengoperasian Projek ProWell
 
Pengenalan
ProWell adalah projek pemerkasaan ekonomi untuk golongan berkeperluan khas daripada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), penghuni institusi-institusi kebajikan dan penerima bantuan kewangan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
 
Objektif
  • Menggembleng potensi untuk kumpulan sasar berkeperluan khas agar lebih produktif menerusi penyertaan dalam aktiviti keusahawanan sosial;
  • Menyediakan peluang perniagaan secara tersusun kepada kumpulan sasar bagi meningkatkan pendapatan dan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan; dan
  • Menggalakkan penglibatan sektor kerajaan, swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang ramai dalam membantu kumpulan sasar berdikari secara ekonomi menerusi pembelian produk dan perkhidmatan yang berkualiti dan mesra alam.
 
Bagaimana projek ProWell dilaksanakan?
 
Di bawah jenama ProWell, pihak jabatan memberikan kemudahan dan nasihat dalam penghasilan produk – bermula dari pembangunan produk, latihan, menyediakan peralatan dan bahan mentah yang diperlukan, pembungkusan dan penjenamaan, dalam menjamin pasaran untuk produk-produk yang dihasilkan oleh kumpulan sasar dan meningkatkan kefungsian sosial kumpulan sasar. Bersesuaian dengan slogan ProWell iaitu, “Empowering lives, Engaging hearts”
 
Kumpulan Sasar
  • Pelatih Program Pemulihan Berasaskan Komuniti (PDK)
  • Penghuni Institusi kebajikan
  • Penerima Bantuan Kewangan JKM

 Kategori produk yang dihasilkan:
Penghasilan produk cenderamata korporat yang berteraskan elemen Songket dan Batik.
  1. Hadiah & aksesori
 
Produk buatan tangan yang sesuai dijadikan sebagai hadiah korporat, cenderamata dan untuk koleksi persendirian. Dari aksesori buatan tangan yang indah oleh golongan wanita etnik Sarawak kepada batik yang dilukis oleh orang kurang upaya yang halus buatannya.
 
  1. Pelbagai Beg
 
ProWell juga mempunyai produk buatan tangan yang unik seperti Beg Songket, klac petang yang eksklusif, beg uncang dipadankan untuk program santai, ataupun beg fail yang menjadi pilihan bagi wanita bekerjaya.
 
Kerjasama
Pihak jabatan menjalin perkongsian pintar dengan pelbagai badan-badan korporat dan badan kerajaan dalam mempromosi dan memasarkan produk-produk ProWell.
 
Untuk carian produk ProWell, sila muat turun turun link tersebut: (Produk ProWell)

3.0     Pengoperasian Koperasi ProWell Berhad 

Pengenalan
Koperasi ProWell Berhad telah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan secara rasminya telah ditubuhkan pada 22 April 2020. Keanggotaan Koperasi adalah dari seluruh Semenanjung Malaysia kecuali Sabah, WP Labuan dan Sarawak.  Pejabat pengoperasiannya terletak di Prowell Center di PLPP Bangi. Anggota Lembaga Koperasi (ALK) terdiri daripada wakil dari setia negeri di Semenanjung Malaysia.
 
Keanggotaan Koperasi
  •  Klien Jabatan (Penerima Bantuan Kebajikan);
  • Orang Kurang Upaya; dan
  • Jawatankuasa PDK, Pekerja dan Penyelia PDK.
 
Objektif Penubuhan Koperasi:
 
  • Menggembleng potensi kumpulan sasar atau peserta melalui keusahawanan sosial;
  • Memberi perlindungan sosial melalui pembiayaan kebajikan dan insurans;
  • Menyediakan peluang perniagaan dan pemilikan syer secara tersusun; dan
  • Memupuk sikap berdikari melalui konsep pemilikan.
        
Untuk memohon keanggotaan ahli koperasi, sila muat turun turun link tersebut (Keanggotaan Koperasi ProWell Berhad)

 Sekiranya ingin mendapat maklumat lanjut sila layari Facebook ProWell Project dan Instagram ProWell Project
 
 
Tarikh Kemaskini : 20/04/2024