Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) & Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK)

PASUKAN PELINDUNGAN KANAK-KANAK (PPKK)

Pengenalan 

Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) ditubuhkan melalui peruntukan di bawah Seksyen 7(1) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].  Mengikut Seksyen 7(1) Akta 611, PKKK ditubuhkan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak yang dipengerusikan oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
 
Tujuan PPKK adalah bagi menyelaraskan perkhidmatan setempat kepada keluarga dan kanak-kanak jika kanak-kanak memerlukan atau disyaki memerlukan pemeliharaan dan pelindungan.

PPKK berfungsi sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak. PPKK juga bertanggungjawab bagi pengurusan pengoperasian Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) bagi melaksanakan pelbagai program/ aktiviti mengikut keperluan masyarakat setempat.
 
Peranan dan Tanggungjawab PPKK 
 
  1. Memberitahu apa-apa kejadian penganiayaan dan pengabaian kepada mana-mana Pelindung atau Pegawai Kebajikan Masyarakat (PKM).
  2. Jika terdapat ibu atau bapa peliharaan yang sesuai untuk kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan, memberitahu mana-mana Pelindung atau PKM.
  3. Membantu mana-mana Pelindung atau PKM untuk mendapatkan apa-apa latihan dan pekerjaan bagi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan.
  4. Membantu mana-mana Pelindung atau PKM menjalankan fungsinya untuk menyelia mana-mana kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan.
  5. Menganjurkan program pendidikan awam yang berhubungan dengan kanak-kanak termasuklah ceramah, forum dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.
  6. Menjalankan tanggungjawab mengurus tadbir kewangan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK).
  7. Mengadakan perkhidmatan sokongan dan menganjurkan program pencegahan dan pemulihan bagi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan.
  8. Bertanggungjawab bagi pengurusan pengoperasian PAKK.
  9. Mengemukakan laporan aktivitinya kepada Majlis sebulan sekali.
  10. Menjalankan tiap-tiap arahan yang dikeluarkan oleh Majlis.
  11. Hendaklah melaksanakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh masa 3 bulan.
  12. Mempunyai inisiatif dan usaha mendapatkan dana/ sumbangan luar bagi keperluan program/ aktiviti PPKK dan pengoperasian PAKK.
  13. Mengadakan jalinan kerjasama dengan agensi/NGO bagi meningkatkan perkhidmatan dan pengurusan PAKK dan PPKK.
 
PUSAT AKTIVITI KANAK-KANAK (PAKK)
 
Pengenalan

Penubuhan PAKK merupakan satu usaha yang menyeluruh dan lebih sistematik dan berkesan dalam usaha mencegah kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak. PAKK merupakan program / perkhidmatan sokongan anjuran Pasukan Pelindungan Kanak-kanak.

PAKK diwujudkan mengikut keperluan setempat. Pasukan Perlindungan Kanak-kanak perlu mengenalpasti isu yang ketara dalam sesuatu kawasan dan menentukan peringkat umur kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan. Ini akan membantu dalam penyediaan program dan tempoh masa PAKK patut dijalankan.
 
PAKK boleh dibuka sepanjang hari, atau untuk tempoh masa yang tertentu sahaja. Premis yang digunakan boleh disewa atau didapatkan dengan percuma dengan kerjasama Majlis Tempatan, Jawatankuasa Penduduk Setempat atau bantuan / sokongan dari orang perseorangan.

Objektif penubuhan PAKK adalah untuk menganjurkan program dan perkhidmatan sokongan bercorak pencegahan dan perlindungan terutama bagi kanak-kanak yang dianiaya oleh keluarga mereka. Keanggotaan PAKK terdiri daripada jawatankuasa Kecil yang dilantik oleh Pasukan Pelindungan Kanak-kanak.

Jawatankuasa Kecil ini terdiri daripada tidak kurang dari tujuh orang ahli dan tidak lebih daripada lima belas orang.

Peranan PAKK dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Pasukan Pelindungan Kanak-kanak
  1. Tempat perlindungan: Menyediakan pelbagai aktiviti yang sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak.
  2. Pusat advokasi: Mengadakan ceramah / kursus pendek kepada masyarakat, ibu bapa dan kanak-kanak.
  3. Pusat sumber: Menyediakan bahan bacaan / rujukan untuk kanak-kanak.
  4. Pusat Pembelajaran: Kelas bimbingan / komputer / kelas keagamaan / kelas lukisan / kelas drama / pidato / deklamasi sajak.
  5. Pusat Intervensi Krisis: Menyediakan sesi kaunseling.
  6. Pusat Sosial / Sukan / Rekreasi: Sukan / riadah / program kebudayaan/ kesenian dan sebagainya.
  7. PAKK berfungsi menjalankan aktiviti/program dan memberikan perkhidmatan sokongan bercorak pencegahan, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kepada kanak-kanak.
 
SENARAI PPKK, PAKK DAN PKKK DI MALAYSIA TAHUN 2024
 
BIL NEGERI BIL PPKK BIL PAKK
1 Perlis 1 3
2 Kedah 14 15
3 Pulau Pinang 5 9
4 Perak 15 15
5 Selangor 11 16
6 WP Kuala Lumpur & Putrajaya 6 6
7 Negeri Sembilan 9 9
8 Melaka 3 5
9 Johor 10 11
10 Pahang 11 11
11 Terengganu 7 13
12 Kelantan 10 11
13 Sarawak 13 14
14 Sabah 23 3
15 WP Labuan 2 2
JUMLAH 140 143
Kemaskini: 24.6.2024
Senarai PPKK dan PAKK klik di sini
Tarikh Kemaskini : 27/07/2024