Perkhidmatan

Pengenalan
Perkhidmatan bantuan kewangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat disediakan kepada kumpulan sasar yang memerlukan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.

Secara prinsipnya, di dalam melaksanakan pemberian bantuan kepada rakyat, Kerajaan Malaysia tidak sesekali mengamalkan konsep Negara Kebajikan (Welfare State). Skim bantuan yang diwujudkan adalah sebagai alat dalam proses menolong klien ke arah pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian, yang merupakan satu kaedah dalam kerja sosial. Proses pemberian bantuan kebajikan juga mengambil kira potensi yang ada pada setiap penerima bantuan yang masih produktif ke arah hidup berdikari.

Tujuan
Tujuan umum bantuan kewangan kebajikan adalah seperti berikut:
  1. Penyaraan pendapatan keluarga bagi memenuhi keperluan asas kehidupan;
  2. Menggalakkan kumpulan sasar yang masih produktif supaya minat bekerja dan berdikari;
  3. Meningkatkan taraf kehidupan kumpulan sasar agar dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.

Kelayakan Umum Untuk Memohon Bantuan Kebajikan
Semua permohonan yang dibuat perlu memenuhi syarat asas kelayakan seperti berikut:
  1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia
  2. Pendapatan keluarga di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa iaitu RM930 di Semenanjung, RM990 di Sarawak dan RM 1,170 di Sabah
  3. Golongan yang tidak berkemampuan dan berkeperluan dengan mengambilkira lain-lain faktor seperti bilangan anak/tanggungan yang tinggal bersama dan berasingan, tahap ketidakupayaan ketua keluarga atau ahli keluarga, sokongan dari ahli keluarga, keadaan dan kelengkapan rumah berdasarkan keperluan keluarga dan faktor-faktor lain yang munasabah serta boleh memberikan gambaran kedudukan kewangan dan perbelanjaan harian pemohon/keluarga

Catitan
Pelaksanaan bantuan kebajikan adalah selaras dengan Senarai Bersama (Concurrent List) antara Kerajaan persekutuan dengan Kerajaan Negeri, yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah senarai 3 - jadual kesembilan Senarai Perundangan.

Cara Permohonan
Pengendalian permohonan bantuan kewangan dibuat di peringkat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian di seluruh negara. Setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.

Untuk memudahkan urusan pentadbiran, pemohon diminta membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian seperti salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak / ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan.
Tarikh Kemaskini : 01/06/2016