Pengenalan PKM

Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) merupakan hukuman alternatif kepada pemenjaraan bertujuan memberi pemulihan, mencegah pesalah daripada mengulangi kesalahan jenayah (recidivism) dan sekaligus memberi manfaat kepada masyarakat melalui tiga elemen seperti berikut:-
  1. Hukuman   - melucutkan masa lapang pelatih dengan memberikan tanggungjawab kepada mereka untuk dilaksanakan.
  2. Pemulihan - merangsang dan memupuk tanggungjawab sosial dan menjadikan khidmat masyarakat sebagai pengajaran berfaedah kepada pelatih.
  3. Penginsafan - membantu pelatih dalam membina sahsiah diri, akhlak dan pekerti yang mulia, dan insaf atas kesalahan yang dilakukan serta menawarkan faedah kepada masyarakat.  
Terdapat tiga (3) kategori pesalah yang dijatuhi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat iaitu:-

1.  Pesalah Muda
  • Seksyen 2, Tafsiran, Akta Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).“Pesalah Muda” ertinya seseorang yang telah disabitkan atas suatu kesalahan yang boleh dihukum denda atau penjara yang berumur lapan belas (18) tahun atau lebih dan dibawah umur dua puluh satu (21) tahun.
  • Seksyen 293 (1)(e)(i) Akta Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), Pesalah hendaklah melaksanakan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 240 jam agregat.
  •  Pelaksanaan PKM kepada pesalah muda bermula pada 1 Januari 2008
2. Pesalah Dewasa
  • Bab 3, Kesalahan Berhubung Dengan Kesihatan Dan Kebajikan Kanak-Kanak,Seksyen 31, 32, dan 33 Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016) 
  • Khidmat masyarakat yang disebut dalam subsekyen (2)-          
  1. kerja tanpa bayaran tidak boleh kurang daripada tiga puluh enam (36) jam dan tidak melebihi 240 jam agregat;
  2. hendaklah dilaksanakan dalam tempoh yang tidak melebihi enam (6) bulan dari tarikh perintah;
  3. hendaklah tertakluk kepada apa-apa syarat yang dinyatakan oleh mahkamah.
  4. tidak mematuhi perintah mahkamah boleh didenda tidak RM10,000.00.
  •  Pelaksanaan PKM bagi pesalah ini bermula pada 1 Januari 2017.
3.  Kanak-Kanak
  • Seksyen 97A Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016),Jika mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang olehnya atau dihadapannya seseorang kanak-kanak didapati bersalah atas sesuatu kesalahan, berpendapat bahawa adalah patut untuk mahkamah itu berbuat demikian, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh membuat suatu perintah yang menghendaki kanak-kanak itu untuk melaksanakan khidmat masyarakat tidak melebihi satu ratus dua puluh jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan, pada bila-bila masa dan dimana-mana tempat sebagaimana yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.
  • Seksyen 97B(5)(a) Akta Kanak-Kanak tidak mematuhi perintah mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00.
  • Pelaksanaan PKM bagi pesalah ini bermula pada 1 Januari 2017.
Contoh Perincian Aktiviti dan Program Mengikut Elemen Perintah Khidmat Masyarakat
  1. HUKUMAN (40% dari Jam Agregat Tempoh Perintah)
  • aktiviti Khidmat Bakti
  • program Ilmu dan Bakti
  • aktiviti landskap
  • pemuliharaan kawasan
  • pembaikan kecil
  • pengurusan diri penghuni
      2. PEMULIHAN (30% dari Jam Agregat Tempoh Perintah)
  • program Perkasa Keluarga
  • Skill & Career @ CSO - Kemahiran Insaniah
  • Skill & Career @ CSO - Kemahiran
  • Skill & Career @ CSO - Sokongan Pekerjaan
  • PKM Beret
  • Kem PKM
      3.  PENGINSAFAN (3O% dari Jam Agregat Tempoh Perintah)
  • program Ilmu dan Bakti
  • pendekatan Kerohanian (Program Smart Solat, Kuliah Asas Fardhu Kifayah)
  • tayangan Video
  • lawatan ke tempat hukuman
Tarikh Kemaskini : 31/01/2024