Top banner 1

PERKHIDMATAN

BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN KEPADA PERTUBUHAN SUKARELA KEBAJIKAN (PSK)

Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK)

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM memberi Bantuan Kewangan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang memberikan perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada kumpulan sasar JKM iaitu Warga Emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Kanak-Kanak. Tujuan pemberian bantuan ini adalah untuk menampung sebahagian kos yang ditanggung oleh PSK dalam menyediakan perkhidmatan kepada kumpulan sasar JKM. Bantuan ini adalah berbentuk Geran Rangsum (makan minum), Geran Pentadbiran, Elaun Khas Murid OKU, Geran Perkapita dan Geran Pembaikan.
 
      Jenis- Jenis Bantuan
 
  • Geran Pentadbiran: Bantuan bagi menampung kos pentadbiran PSK  Kebangsaan dan Negeri seperti sewaan premis, utiliti dan saguhati sukarelawan.
  • Geran Rangsum: Bantuan yang diberikan oleh Kerajaan bagi menampung sebahagian kos perbelanjaan  makan dan minum  penghuni.
  • Geran Per Kapita : Bantuan yang diberikan kepada Sekolah Pendidikan Khas kendalian PSK yang mempunyai sijil perakuan pendaftaran diri dari Kementerian Pelajaran Malaysia.
  • Geran Pembaikan: Bantuan yang diberikan kepada PSK untuk membaik pulih premis yang menjejaskan perjalanan pentadbiran dan aktiviti PSK yang menjalankan Pusat Jagaan Harian dan Berkediaman.
  • Elaun Khas Murid OKU: Bantuan bulanan yang diberikan kepada OKU yang mengikuti program pemulihan di Sekolah Pendidikan Khas kelolaan PSK dengan syarat-syarat berikut:
 
       OKU berdaftar dengan JKM;
 
  • Mengikuti program pemulihan di Sekolah Pendidikan Khas kendalian PSK yang mempunyai Sijil Perakuan Pendaftaran daripada Jabatan Pelajaran Malaysia;
  • Mengikuti program pemulihan OKU sekurang-kurangnya 3 jam sehari dan 3 kali seminggu;
  • OKU berumur tidak lebih dari 19 tahun; dan
  • OKU yang hadir program akademik, ADL, terapi, intervensi awal, vokasional, pemulihan anggota, carakerja dan latihan transisi.
 
       Asas Pertimbangan Pemberian Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada PSK
 
  • Berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966 atau di bawah Undang-Undang Tubuh lain;
  • Pertubuhan bertaraf tempatan;
  • Pertubuhan yang bercorak kebajikan (welfare-related) yang mengendalikan program berbentuk pencegahan, pemulihan, penjagaan, perlindungan dan pembangunan bagi kumpulan sasar di bawah tanggungjawab dan fungsi Jabatan;
  • Berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 bagi yang mengendalikan program institusi berkediaman atau Pusat Jagaan Harian;
  • Tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung perjalanan program;
  • Mempunyai perancangan masa depan untuk menanggung kos pembiayaan program selepas tamat tempoh penerimaan bantuan; dan
  • Telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga (3) tahun bagi PSK baru.
 
        Tidak Layak Menerima Bantuan Kewangan Kerajaan
 
  • PSK yang tidak layak diberi pertimbangan adalah seperti berikut :
  • Tidak berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan atau undang-undang tubuh yang lain;
  • Bersifat keuntungan;
  • Program atau aktiviti dan apa-apa perkara yang  bercanggah dengan perlembagaan PSK berkenaan;
  • Pertubuhan Politik atau orang perseorangan;
  • Pertubuhan yang telah dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan;
  • Tidak mengemukakan Laporan Kewangan Beraudit yang diaudit  oleh Juru Audit bertauliah; dan
  • Menjalankan program di luar dari bidang tugas Jabatan.

BORANG PERMOHONAN (SETELAH LENGKAP DIHANTAR KE PEJABAT KEBAJIKAN MASYARAKAT DAERAH BERHAMPIRAN)
(sila klik di sini untuk muat turun Borang Permohonan Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada PSK)

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Komuniti, Cawangan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK)
 
Tarikh Kemaskini : 02/03/2021