Pusat Aktiviti

Volunteer Activity Centre (V@C) merupakan sebuah tempat yang disediakan kepada Sukarelawan JKM untuk mengadakan perjumpaan dan perbincangan dalam membuat perancangan, penyusunan dan gerakan aktiviti kesukarelaan. Ianya juga sebagai pusat yang membekal sumber maklumat dan  bahan rujukan berkaitan dengan perkhidmatan Jabatan khususnya dalam kerja-kerja kesukarelaan dan merupakan satu usaha yang menyeluruh dan lebih sistematik serta berkesan dalam usaha meningkatkan penyertaan masyarakat dalam kerja-kerja sukarela yang dirancang dengan lebih tersusun.      
 
Konsep penubuhan dan pengoperasian V@C adalah berteraskan kepada beberapa elemen iaitu:
 
Sukarelawan JKM
Sukarelawan JKM akan menjadi penggerak utama dalam mengaktifkan V@C sebagai pusat sehenti (one stop centre) yang berkaitan dengan aktiviti kesukarelaan dalam komuniti setempat.
 
Komuniti
Komuniti merupakan rakan strategik utama kepada V@C untuk bersama-sama Sukarelawan JKM merangka dan merancang pelaksanaan program dalam komuniti berkenaan. Anggota jawatankuasa dan keahlian V@C juga merupakan individu dalam komuniti yang sama dan secara langsung akan bekerjasama dengan Sukarelawan JKM untuk menimba ilmu pengetahuan, mengisi masa lapang dan meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang seperti sosial, agama, kesihatan, sukan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
 
Intergenerasi
Volunteer Activity Centre (V@C) menyediakan ruang kepada pelbagai peringkat generasi untuk saling membantu antara satu sama lain ke arah mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Ianya juga merupakan satu program yang menggabung jalinkan antara Sukarelawan JKM dengan kumpulan sasar Jabatan khususnya warga emas, kanak-kanak, remaja, Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebagainya.
 
Community Based Integrated Care System (CBICS)
CBICS merupakan satu bentuk tanggungjawab atau peranan yang dimainkan oleh komuniti untuk menyelesaikan permasalahan, meningkatkan keupayaan, dan membentuk kerjasama dalam persekitaran mereka.  V@C akan menjadi tempat rujukan kepada komuniti untuk melaksanakan kerja-kerja sukarela kepada masyarakat, manakala Sukarelawan JKM berperanan sebagai penggalak dan penggerak dalam menjayakan program dan aktiviti yang diperlukan. Ianya sebagai satu kitaran yang bersambungan dan membentuk jaringan sosial yang saling membantu antara satu sama lain.


Objektif
 
Objektif penubuhan V@C adalah selari dengan matlamat Jabatan untuk memperkasakan program-program yang berasaskan komuniti ataupun Peranan Organisasi Berasaskan Komuniti (OBK)[1] (The Role of Community-Based Organization) dalam pembangunan komuniti.  Antara objektif V@C adalah seperti berikut:
 
Menyediakan kemudahan tempat berkumpul kepada sukarelawan untuk mengadakan perjumpaan dan perbincangan bagi merancang, menyusun dan melaksanakan aktiviti kesukarelaan dan kemasyarakatan dalam komuniti;
 
Meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kesukarelaan dan pembangunan komuniti supaya mereka dapat berperanan sebagai komuniti yang berdaya dalam menunaikan tanggungjawab kepada negara;
 
Mewujudkan satu organisasi sukarelawan yang tersusun  dalam menjalankan kerja-kerja pengurusan dan pentadbiran, sokong bantu kepada masyarakat serta melaksanakan program secara terus di peringkat lapangan; dan
 
Mewujudkan sistem komunikasi langsung kepada pihak jabatan untuk mengenalpasti kumpulan sasar yang perlu dibantu dan diberi perhatian selain menyediakan informasi berkaitan perkhidmatan Jabatan.
 
V@C akan menjadi satu pusat yang dapat meningkatkan penyertaan masyarakat setempat dalam aktiviti kesukarelaan dan meningkatkan motivasi dan semangat kesukarelawanan dalam melakukan kerja-kerja sukarela.  Dalam satu kajian oleh Wilson[2]  (2000), menyatakan bahawa semangat  kesukarelawanan adalah  antara  nilai  teras  yang  perlu  ada  dan  harus  disemai  dalam  kalangan  generasi  muda  kerana golongan inilah yang akan menentukan kemajuan atau kemunduran sesebuah negara.
 
Jelas sekali bahawa kerja-kerja kesukarelaan dapat meningkatkan potensi diri individu dalam membangunkan pelbagai kemahiran dan menyokong komuniti sekeliling untuk melakukan kerja-kerja sukarela.  Peranan V@C dapat dilihat sebagai tapak khas kepada komuniti untuk bersama dalam membangunkan komuniti dari sudut kesukarelaan. Ianya juga sebagai salah satu aktiviti dalam komuniti yang menjadi teras kepada konsep yang diutamakan oleh kerajaan iaitu organisasi berasaskan komuniti.
 
 
 
Disediakan oleh:
Cawangan Kesukarelaan, Bahagian Komuniti
Jabatan kebajikan Masyarakat




 
Tarikh Kemaskini : 02/03/2021