Perkhidmatan Bantuan Kewangan

1.    Soalan: Adakah kes yang telah diluluskan sebelum 1 Julai 2018 boleh diteruskan atau ditamatkan?
Jawapan: Mengikut Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan yang berkuatkuasa mulai 1 Julai 2018, kes tersebut boleh diteruskan sehingga tamat tempoh kelulusan bantuan dan kaji semula berikutnya akan menggunakan kriteria kelayakan Garis Panduan baharu.

2.   Soalan: Adakah penggunaan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Semasa berubah sekiranya PGK baharu dikeluarkan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi (UPE), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi?
Jawapan: Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Semasa akan berubah mengikut   PGK baharu yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

3.   Soalan: Adakah bantuan kewangan JKM layak dipertimbangkan kepada pemohon yang berstatus Pemastautin Tetap (PR)?
Jawapan: Bantuan kewangan JKM tidak layak dipertimbangkan kepada pemohon yang berstatus Pemastautin Tetap (PR).

4    Soalan: Adakah bantuan kewangan JKM boleh dipertimbangkan kepada keluarga/ penjaga yang mempunyai anak yang masih belum disahkan status kewarganegaraan?
Jawapan: Bantuan kewangan JKM tidak layak dipertimbangkan kepada keluarga/ penjaga  sehinggalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan status kewarganegaraan kanak-kanak tersebut kecuali Bantuan Anak Pelihara yang tertakluk kepada punca kuasa pemeliharaan adalah dari Program Anak Pelihara JKM dan Akta Kanak-Kanak 2001.

5    Soalan: Apakah definisi Komuniti Rentan?
Jawapan: Komuniti Rentan adalah merujuk kepada sekumpulan orang yang memerlukan (people in need) tinggal bersama-sama di sesuatu kawasan saling berinteraksi, berkongsi kemudahan serta perkhidmatan bagi memenuhi keperluan hidup serta mempunyai masalah, kepentingan dan matlamat yang sama.

6    Soalan: Terdapat beberapa buah keluarga yang tinggal bersama-sama. Adakah keluarga tersebut layak memohon satu bantuan untuk semua isi rumah atau setiap keluarga boleh memohon bantuan secara berasingan?
Jawapan: Setiap keluarga boleh memohon secara berasingan. Pengiraan bilangan keluarga adalah mengikut bilangan Ketua Isi Rumah. Bantuan boleh diberi berdasarkan kepada keluarga atau individu mengikut skim bantuan yang ditetapkan sekiranya memenuhi syarat kelayakan.

7    Soalan: Adakah Bantuan Kanak-Kanak (BKK) layak diberikan kepada keluarga/ penjaga yang sedang dalam proses mendaftar lewat kelahiran kanak-kanak dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?
Jawapan: BKK layak diberikan sekiranya keluarga/ penjaga adalah warganegara Malaysia.

8    Soalan: Adakah perlu pengesahan dari pihak sekolah bagi kanak-kanak berumur 18 tahun ke atas yang masih bersekolah?
Jawapan: Tidak perlu pengesahan daripada pihak sekolah tetapi sekiranya ada, keraguan boleh meminta pemohon mendapatkan pengesahan daripada pihak sekolah.

9    Soalan: Adakah Bantuan Kanak-Kanak (BKK) boleh diberikan kepada pelajar yang mengikuti Matrikulasi/ Asasi?
Jawapan: Tidak layak dipertimbangkan bagi mereka yang mengikuti program Matrikulasi/ Asasi kerana pelajar tersebut telah mendapat pembiayaan dari Pihak Kerajaan/ Pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

10  Soalan: Bolehkah seorang kanak-kanak bertaraf warganegara yang dipelihara oleh ibu bapa yang bukan warganegara menerima Bantuan Kanak-Kanak (BKK)?
Jawapan: Bantuan boleh dipertimbangkan atas nama kanak-kanak berkenaan, dengan syarat kanak-kanak tersebut adalah warganegara Malaysia.

11  Soalan: Adakah gaji minimum penerima Elaun Pekerja Cacat (EPC) ditetapkan kerana terdapat penerima EPC yang menerima upah yang sangat minimum RM5/ RM10 sehari?
Jawapan: Tiada had gaji minimum ditetapkan.
 
12  Soalan: Adakah OKU yang berumur 16 tahun dan masih bersekolah layak memohon Elaun Pekerja Cacat (EPC)?
Jawapan: Tidak layak kerana pemohon masih berstatus pelajar sekolah.

13  Soalan: Siapakah yang layak mengesahkan OKU yang bekerja sendiri?
Jawapan:  Pengesahan OKU yang bekerja sendiri oleh pihak yang  berautoriti seperti Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK)/ Penghulu/ Penggawa/ Ketua Kampung/ Pegawai Kerajaan Kumpulan Pengurusan dan Profesional/ Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah atau Pegawai Kes.

14  Soalan: Adakah OKU yang menjalani latihan pratikal layak menerima Elaun Pekerja Cacat (EPC)?
Jawapan: Tidak layak. Ini adalah kerana OKU yang menjalani latihan praktikal masih berstatus pelatih.

15  Soalan: Berapakah had umur OKU yang layak diberikan Elaun Pekerja Cacat (EPC)?
Jawapan: OKU yang berumur 16 tahun dan ke atas. Tiada had umur maksimum selagi OKU tersebut bekerja dan menepati syarat yang telah ditetapkan dalam pemberian EPC.

16  Soalan: Adakah OKU yang bekerja di kedai atau syarikat milik ibu bapa layak menerima Elaun Pekerja Cacat (EPC)?
Jawapan: OKU tersebut layak diberikan EPC sekiranya menepati syarat yang telah ditetapkan.

17.  Soalan: Adakah penerima Elaun Pekerja Cacat (EPC)  layak diberikan Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT)/ Bantuan Geran Pelancaran (BGP) memandangkan syarat BAT dan BGP diberikan kepada mereka yang berpendapatan di bawah PGK Miskin Semasa?
Jawapan: Penerima EPC layak diberikan BAT/ BGP kerana golongan ini merupakan kumpulan sasar dan penerima bantuan JKM.

18  Soalan: Adakah OKU/ Pesakit Kronik Terlantar yang menerima manfaat Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT) boleh dipertimbangkan bantuan lain seperti BTB, BOT atau lain-lain bantuan?
Jawapan: Penerima bantuan hanya layak dipertimbangkan satu (1) bantuan bulanan sahaja.

19  Soalan: Adakah waris yang menghantar pesakit kronik terlantar ke nursing home layak untuk menerima Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT)?
Jawapan: Tidak layak kerana waris tidak memberi penjagaan sepenuhnya kepada pesakit kronik tersebut.

1.20  Soalan: Adakah pemohon dan pesakit kronik terlantar mesti merupakan warganegara?
Jawapan: Bagi pesakit yang tiada penjaga yang layak/ penjaga bukan warganegara, bantuan boleh dipertimbangkan atas nama pesakit berkenaan, dengan syarat pesakit adalah warganegara Malaysia.

21  Soalan: Adakah pusat jagaan yang berdaftar atau tidak berdaftar layak menerima Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT)  jika mereka menjaga OKU terlantar atau pesakit kronik terlantar?
Jawapan: Tidak layak kerana BPT hanya diberikan kepada waris atau individu yang menjaga pesakit atau OKU yang terlantar di dalam persekitaran keluarganya (rumah kediaman).

22. Soalan: Adakah kadar bantuan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT) ditentukan berdasarkan perkiraan bilangan OKU terlantar atau pesakit kronik terlantar yang dijaga?
Jawapan: Kadar BPT ditentukan mengikut bilangan OKU terlantar atau pesakit kronik terlantar yang dijaga iaitu sebanyak RM350 seorang.

23. Soalan: Adakah seorang isteri yang menerima Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT)  kerana menjaga suaminya yang terlantar dan mempunyai 10 orang anak layak menerima Bantuan Kanak-Kanak (BKK)?
Jawapan: BKK tidak boleh diluluskan di atas nama isteri yang telah menerima BPT. Walau bagaimanapun, BKK boleh dipertimbangkan atas nama anak yang paling dewasa sekiranya memenuhi kelayakan BKK.
 
24. Soalan: Adakah warga emas gelandangan yang tiada alamat rumah/ menggunakan alamat rumah transit/ alamat orang lain layak dipertimbangkan Bantuan Orang Tua (BOT)?
Jawapan:  Tidak layak bagi pemohon yang tidak mempunyai alamat rumah dan menggunakan alamat rumah transit atau alamat orang lain. Setiap pemohon bantuan perlu membuktikan di mana pemohon tinggal sebelum permohonan diproses ataupun diluluskan.

25. Soalan: Adakah warga emas sebatang kara menumpang di rumah orang lain yang berpendapatan melebihi PGK Isi Rumah Semasa layak dipertimbangkan Bantuan Orang Tua (BOT)?
Jawapan: Layak dipertimbangkan berdasarkan siasatan dan justifikasi yang kukuh seperti menumpang di rumah orang lain bagi membolehkan warga emas tersebut terus tinggal dalam komuniti.

26. Soalan: Adakah setiap ahli isi rumah juga perlu mengemukakan pengesahan pendapatan masing-masing bagi setiap permohonan bantuan?
Jawapan: Pemohon bantuan sahaja yang perlu mengemukakan pengesahan pendapatannya manakala maklumat pendapatan ahli isi rumah lain dibuat berdasarkan siasatan.

27. Soalan: Adakah wang perbelanjaan yang diberikan oleh anak adalah termasuk dalam PGK Isi Rumah Semasa?
Jawapan: PGK Isi Rumah Semasa mengambilkira semua sumber yang mendatangkan pendapatan.

28. Soalan: Apakah takrifan ”Tidak mempunyai ibu bapa dan tinggal bersama keluarga ganti” di dalam Kriteria Bantuan Anak Pelihara (BAP)?
Jawapan: Keluarga ganti adalah waris atau penjaga yang berkelayakan dan sesuai untuk menjaga kanak-kanak tersebut dan tidak terikat dengan Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dan mana-mana Undang-Undang atau Peraturan.

29. Soalan: Adakah keluarga yang mengambil kanak-kanak yang bukan warganegara layak dipertimbangkan Bantuan Anak Pelihara (BAP)?
Jawapan: Penjaga yang mengambil kanak-kanak yang bukan warganegara tidak layak menerima BAP.

30. Soalan: Adakah keluarga yang memperolehi anak pelihara berstatus stateless melalui Program Anak Pelihara JKM atau melalui Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dipertimbangkan Bantuan Anak Pelihara (BAP)?
Jawapan: Boleh dipertimbangkan kerana punca kuasa pemeliharaan adalah dari Program Anak Pelihara JKM dan Akta Kanak-Kanak 2001.

31. Soalan: Adakah keluarga lain yang menjaga kanak-kanak yang kematian ibu bapa (yatim piatu) layak dipertimbangkan Bantuan Anak Pelihara (BAP)??
Jawapan: Keluarga tersebut layak menerima BAP sekiranya ahli keluarga tersebut adalah keluarga ganti kepada kanak-kanak melalui surat atau laporan siasatan JKM.

32. Soalan: Adakah klien yang terlantar boleh memohon Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT) yang tidak tersenarai di dalam Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan (GPPBKP)?
Jawapan: Klien yang terlantar boleh mendapatkan sokongan daripada Pegawai Perubatan sekiranya alat tiruan/ sokongan yang diperlukan tidak tersenarai dalam GPPBKP.

33. Soalan: Bolehkah mesin Brailed dan cermin mata khas diberikan kepada OKU yang berumur 18 tahun ke bawah?
Jawapan:Berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan 2018, mesin Brailed dan cermin mata khas hanya layak diberikan kepada OKU yang berumur 18 tahun ke atas manakala OKU yang berumur 18 tahun ke bawah perlu mendapatkan syor daripada Pegawai Perubatan.

34. Soalan: Adakah warga emas yang mengalami masalah pendengaran disebabkan faktor usia boleh memohon Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT)?
Jawapan: BAT boleh dipertimbangkan tetapi perlu diteliti dari segi keperluan dengan justifikasi yang kukuh.

35. Soalan: Adakah penjawat awam layak dipertimbangkan Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT) untuk anaknya?
Jawapan: Penjawat awam tidak layak dipertimbangkan BAT kerana mereka tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009 - Peraturan Permohonan Perbelanjaan Kemudahan Perubatan.
 
Tarikh Kemaskini : 22/01/2020