Taman Sinar Harapan

Pengenalan
Taman Sinar Harapan merupakan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang memberi penjagaan, pelindungan dan pemulihan kepada Orang Kurang Upaya kategori Masalah Pembelajaran (OKU). Selain itu, Taman Sinar Harapan juga merupakan Tempat Selamat untuk pelindungan khususnya kepada kanak-kanak OKU Masalah Pembelajaran di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Pada masa ini terdapat tujuh (7) buah Taman Sinar Harapan di seluruh negara. Penghuni ditempatkan di Taman Sinar Harapan bagi tempoh tiga (3) tahun atau sehingga mencapai umur 18 tahun. Dalam tempoh tersebut penghuni akan diberi penjagaan, pelindungan dan pemulihan yang sewajarnya mengikut Kaedah-Kaedah Pusat-Pusat Pemulihan Cacat Akal 1977.
 
Terdapat dua (2) cara kemasukan ke Taman Sinar Harapan iaitu secara sukarela melalui kuasa Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat mengikut Kaedah-Kaedah Pusat-Pusat Pemulihan Cacat Akal 1977 dan melalui Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
 
Objektif
  1. Memberi penjagaan, pelindungan dan pemulihan kepada kategori Orang Kurang Upaya Masalah Pembelajaran.
  2. Memberi latihan Aktiviti Kehidupan Seharian (Activity Daily Living) kepada penghuni supaya berupaya menguruskan diri sendiri.
  3. Memberi latihan pravokasional kepada penghuni bagi meningkatkan kemahiran ke arah kehidupan berdikari.
  4. Memberi peluang kepada penghuni untuk berinteraksi dengan penghuni lain dan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti bersosial.
  5. Memberi latihan kemahiran sosial dan aktiviti kemasyarakatan bagi tujuan integrasi dengan komuniti.
Klasfikasi Taman Sinar Harapan
Penempatan penghuni di sesebuah Taman Sinar Harapan dibuat berdasarkan tahap ketidakupayaan, umur dan jantina mengikut klasfikasi seperti berikut:
 
 
Bil. Institusi

Klasifikasi Kemasukan
 
1. Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu, TERENGGANU
  • Lelaki dan Perempuan
  • Umur 0-14 Tahun
  • Boleh Dilatih
  • Tempat Selamat
2 Taman Sinar Harapan Cheras, SELANGOR
  • Lelaki dan Perempuan
  • Umur 14-25 Tahun
  • Boleh Dilatih
3 Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, NEGERI SEMBILAN
  • Lelaki dan Perempuan
  • Umur 0-14 Tahun
  • Boleh Dilatih
  • Tempat Selamat
4 Taman Sinar Harapan Tampoi, Johor Bahru, JOHOR
  • Lelaki Sahaja
  • Umur 15-35 Tahun
  • Boleh Dilatih
  • Tempat Selamat
5 Taman Sinar Harapan Jubli, Johor Bahru, JOHOR
  • Perempuan Sahaja
  • Umur 15-35 Tahun
  • Boleh Dilatih
  • Tempat Selamat
6 Taman Sinar Harapan Kuala Kubu Bharu, SELANGOR
  • Lelaki dan Perempuan
  • Umur 15 Tahun Ke Atas
  • Tidak Boleh Dilatih/Terlantar
  • Tempat Selamat
7. Taman Sinar Harapan Jitra, KEDAH
  • Lelaki dan Perempuan
  • Umur 0-14 Tahun
  • Tidak Boleh Dilatih/Terlantar
  • Tempat Selamat

Syarat-Syarat Permohonan Kemasukan
Syarat-syarat permohonan kemasukan ke Taman Sinar Harapan secara sukarela seperti berikut:
  1. Warganegara Malaysia
  2. Kategori OKU Masalah Pembelajaran
  3. OKU Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
  4. Tiada penyakit berjangkit
Cara Permohonan Kemasukan
Ibu bapa atau penjaga boleh membuat permohonan kemasukan secara sukarela ke Taman Sinar Harapan melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian (PKMD) berhampiran tempat kediaman. Pemohon akan diminta melengkapkan dan menghantar borang serta dokumen yang berkaitan kepada PKMD berkenaan.

 
Tarikh Kemaskini : 07/12/2017