Sekretariat

MAJLIS KEBANGSAAN BAGI KANAK-KANAK
 
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menubuhkan Majlis Kebangsaan bagi Kanak-Kanak sepertimana termaktub dalam Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 [ Akta 1511] di bawah seksyen 3.
 
 
Peranan dan Fungsi Majlis
  
(a) Menasihati dan membuat syor kepada kerajaan mengenai semua isu dan aspek yang berhubungan dengan pemeliharaan,     pelindungan, pemulihan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa;
 
(b) Membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat dan untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat, termasuk di peringkat keluarga, mengenai hak dan maruah seseorang kanak-kanak;
 
(c) Membangunkan program yang bertujuan untuk mendidik masyarakat dalam usaha mencegah penderaan dan pengabaian kanak-kanak serta mencegah penglibatan kanak-kanak dalam perbuatan tidak bermoral atau jenayah;
 
(d) Memastikan bahawa standard perkhidmatan yang disediakan oleh agensi dan jabatan kerajaan, badan atau organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta bagi pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak memenuhi keperluan kanak-kanak;
 
(e) Menyelaraskan pelbagai sumber daripada semua pihak, termasuk agensi dan jabatan kerajaan, badan atau organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta, yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan bagi pemeliharaan, pelindungan, pemulihan dan perkembangan kanak-kanak;
 
(f) Menyelaraskan dan memantau pelaksanaan dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan kanak-kanak oleh agensi dan jabatan kerajaan, badan atau organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta;
 
(g) Mengumpul dan mengumpul semak data dan maklumat, dan menjalankan serta menggalakkan kajian yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan, pemulihan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak;
 
(h) Mereka bentuk suatu sistem pengurusan yang cekap dan berkesan di seluruh Malaysia bagi kanak-kanak yang memerlukan pelindungan;
 
(i) Menggalakkan penyertaan kanak-kanak dalam proses membuat keputusan mengenai perkara yang menyentuh isu kanak-kanak;
 
(g) Memantau aktiviti dan pelaksanaan fungsi Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak; dan
 
(k) Melakukan apa-apa perkara lain sebagaimana yang difikirkannya patut untuk membolehkannya melaksanakan fungsinya secara berkesan atau yang bersampingan dengan pelaksanaan fungsinya.
 
 
  
Keanggotaan Majlis
 
(1)   Majlis terdiri daripada anggota yang berikut—

      (a)   Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan yang hendaklah menjadi Pengerusi;

      (b)   Ketua Setiausaha Perbendaharaan atau wakilnya;
 
      (c)   Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan yang hendaklah menjadi Timbalan                Pengerusi;
 
      (d)   Peguam Negara atau wakilnya;
 
      (e)   Ketua Polis Negara atau wakilnya;
 
      (f)    Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi sumber manusia atau wakilnya;
 
      (g)   Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri atau wakilnya;
 
      (h)   Ketua Setiausaha Kementerian yang bertanggungjawab bagi komunikasi atau wakilnya;
 
      (i)    Ketua Pengarah Kesihatan atau wakilnya;
 
      (j)    Ketua Pengarah Pendidikan atau wakilnya;
 
      (k)   Ketua Pengarah Pendaftaran Negara atau wakilnya;
 
      (l)    Komisioner Jeneral Penjara atau wakilnya;
 
      (m)  Ketua Pengarah Imigresen atau wakilnya;
                     
      (n)   Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat yang hendaklah menjadi Setiausaha;
 
      (o)   dua orang wakil daripada jabatan yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;
 
      (p)   seorang wakil kementerian di Negeri Sabah, yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;
 
      (q)   seorang wakil kementerian di Negeri Sarawak, yang bertanggungjawab bagi perkhidmatan kebajikan;
 
      (r)   dua orang wakil dalam kalangan kanak-kanak yang hendaklah dilantik oleh Menteri, atas syor Ketua Pengarah Kebajikan             Masyarakat; dan
 
      (s)   tidak lebih daripada lima orang yang  mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang sesuai dalam perkara                yang berhubungan dengan kebajikan dan perkembangan kanak-kanak termasuk mana-mana orang yang layak untuk                    memberikan nasihat mengenai faktor peribumi, etnik, kebudayaan atau agama yang berkaitan yang dilantik oleh Menteri.
 
(2)   Seseorang anggota Majlis yang dilantik di bawah perenggan (1)(r) atau (s) hendaklah, melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatan atau mengosongkan jawatannya atau pelantikannya terlebih dahulu dibatalkan, memegang jawatan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun dan adalah layak dilantik semula bagi tempoh maksimum dua penggal berturut-turut.
 


 
Tarikh Kemaskini : 04/04/2019