Orang Papa

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertanggungjawab mengambil dan memulihkan orang papa (pengemis dan peleser) berdasarkan peruntukan di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977 [Akta 183].
 
TAFSIRAN
Seksyen 2, Akta Orang-Orang Papa 1977 mentafsirkan:

Mengemis
Apa-apa kelakuan yang dikira akan mendorong pemberian sedekah, sama ada atau tidak terdapat apa-apa perbuatan pura-pura menyanyi, bermain, berlakon, menawarkan sesuatu untuk jualan atau selainnya.

Orang Papa
Seseorang yang didapati mengemis di sesuatu tempat awam hingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegusaran kepada orang yang lazim mengunjungi tempat itu atau pun hingga menimbulkan kacau ganggu;
atau
seseorang peleser yang dijumpai di sesuatu tempat awam sama ada atau tidak dia mengemis, yang tidak mempunyai mata pencarian pada zahirnya atau tempat tinggal atau yang tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan.

KUASA DIPERUNTUKAN DI BAWAH AKTA ORANG-ORANG PAPA 1977 BAGI MENGAMBIL DAN MEMULIHKAN ORANG PAPA
Seksyen 3(1) – Mana-mana pegawai yang diberi kuasa dengan sewajarnya secara bertulis oleh sesuatu pihak berkuasa tempatan dan yang bertindak di bawah arahan Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai kebajikan boleh mengambil ke dalam jagaannya mana-mana orang papa dan mengemukakan orang itu ke hadapan seseorang majistret dalam tempoh dua puluh empat (24) jam.
 
Seksyen 3(2) – Penempatan Sementara (melalui perintah mahkamah) Rumah Kebajikan yang diwartakan di bawah Akta ini bagi tujuan siasatan lanjut dan penyediaan laporan sosial.
 
Seksyen 3(3) – Laporan dari Pegawai Kebajikan Masyarakat hendaklah disiapkan dalam tempoh satu bulan dari tarikh orang itu dimasukkan ke dalam suatu rumah kebajikan.
 
Seksyen 3(4) – Penempatan Tetap (melalui perintah mahkamah) selama tempoh tidak melebihi 3 tahun di rumah kebajikan yang diwartakan di bawah Akta ini bagi tujuan pemulihan dan perlindungan.
 
Perintah lanjutan selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun boleh dibuat 1 kali sahaja.
 
Seksyen 4 – Kemasukan secara sukarela ke rumah kebajikan yang diwartakan di bawah AOP 1977.

KAEDAH-KAEDAH BAGI MENANGANI ISU DAN MEMBANTERAS ORANG PAPA (PENGEMIS/ PELESER)

Tindakan Mengambil Orang Papa (Pengemis / Peleser)
i) Tindakan Mengambil Secara Adhoc/Aduan - Tindakan yang dilakukan secara tidak berjadual/ ad-hoc berdasarkan aduan yang diterima.
ii)Tindakan Mengambil Berjadual/Berkala – Tindakan yang dilakukan secara berjadual / berkala bagi tempat-tempat yang ditentukan. 
iii)Tindakan Mengambil Secara Bersepadu – Tindakan yang dilakukan secara bersepadu yang disertai oleh JKM bersama agensi-agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa/Kerajaan Tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan sebagainya.
 
Kempen kesedaran
Usaha berterusan dilakukan bagi mewujudkan kesedaran masyarakat agar tidak dengan sewenang-wenangnya menghulur derma/sedekah kepada pengemis.
 
Perkhidmatan Penjagaan dan Pemulihan di Rumah Kebajikan
Orang papa ditempatkan di Rumah Kebajikan bagi tujuan penjagaan dan pemulihan. Antara program yang dilaksanakan di rumah kebajikan adalah latihan vokasional, pertanian, kraftangan, kerohanian, riadah dan sosial di samping diberikan rawatan perubatan, penjagaan kesihatan serta bimbingan kaunseling. Kerjasama agensi lain yang berkaitan juga dilakukan untuk memberi kemahiran dan pemulihan kepada penghuni.

Intervensi
Intervensi berbentuk perkhidmatan kaunseling diberikan kepada orang papa yang diselamatkan dan diberi perlindungan di institusi kebajikan bagi mengenalpasti punca berlakunya aktiviti pengemisan dan peleseran. Ia juga bertujuan untuk mengenalpasti potensi diri dan minat mereka agar bantuan yang bersesuaian dapat diberikan.

INSTITUSI-INSTITUSI YANG DIWARTAKAN SEBAGAI RUMAH KEBAJIKAN DI BAWAH AKTA ORANG-ORANG PAPA 1977
 
i) Desa Bina Diri (orang papa berumur 18 hingga 59 tahun)- Kaedah-Kaedah (Rumah Kebajikan) Orang-Orang Papa 1981
 
a. Desa Bina Diri Mersing, Johor
b. Desa Bina Diri Jerantut, Pahang
c. Desa Bina Diri Kota Kinabalu, Sabah
d. Desa Bina Diri Kuching, Sarawak
e. Pusat Sehenti Bina Diri Sg Buloh, Selangor
 
ii) Rumah Seri Kenangan (Orang papa yang berumur 60 tahun dan ke atas)- Kaedah-Kaedah Bagi Pengurusan Rumah Orang-Orang Tua 1983
 
a) Rumah Seri Kenangan Seremban, Negeri Sembilan
b) Rumah Seri Kenangan Johor Bahru, Johor
c) Rumah Seri Kenangan Tanjung Rambutan (Ulu Kinta), Perak
d) Rumah Seri Kenangan Bedong, Kedah

    Rumah Seri Kenangan yang baru diwartakan tahun 2018 bagi cadangan menerima kemasukan di bawah Seksyen 3(2) dan 3(4)
e) Rumah Seri Kenangan Taman Sri Kemumin, Kelantan
f) Rumah Seri Kenangan Taiping, Perak
g) Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka
h) Rumah Seri Kenangan Kangar, Perlis
i) Rumah Seri Kenangan Cheras, Kuala Lumpur
j) Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, Perak
 
iii) Kaedah-Kaedah Pengurusan Rumah-Rumah Sakit Melarat 1978.
Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu 
Rumah Ehsan Dungun

Tarikh Kemaskini : 19/07/2024